Isnin, 30 Disember 2019 | 12:13pm

Singtel, Grab kerjasama untuk lesen perbankan digital Singapura

SINGAPURA: Singapura Telecommunications Ltd (Singtel) bekerjasama dengan firma seru-pandu Asia Tenggara Grab Holdings Inc untuk memohon lesen perbankan digital penuh di Singapura, kata kedua-dua syarikat itu pada Isnin.

  

Kedua-dua syarikat itu dalam satu kenyataan bersama berkata, mereka akan menubuhkan sebuah konsortium dengan Grab memiliki 60 peratus pegangan dan Singtel memegang selebihnya, dengan matlamat menawarkan pelbagai perkhidmatan perbankan digital.

  

Langkah itu berikutan liberalisasi terbesar Singapura dalam sektor perbankannya dalam dua dekad bertujuan membolehkan bank-bank dalam talian sahaja yang boleh beroperasi pada kos yang lebih rendah dan oleh itu menawarkan perkhidmatan yang berbeza berbanding dengan pemberi pinjaman tradisional seperti DBS Group Holdings Ltd dan Oversea-Chinese Banking Corp Ltd.

  

Singtel, pengendali telekom terbesar di rantau ini, dan Grab adalah antara nama terkenal di Asia Tenggara dan kedua-duanya telah berkembang di luar perniagaan tradisional mereka.

  

Singtel telah berkembang ke dalam bidang seperti dompet mudah alih dan permainan dalam talian, sementara Grab telah berkembang menjadi penghantaran makanan dan pelbagai perkhidmatan kewangan.

"Langkah semulajadi seterusnya adalah untuk membina sebuah bank digital yang sangat berpusatkan pelanggan yang akan memberikan pelbagai perkhidmatan perbankan dan kewangan yang boleh diakses, telus dan berpatutan," kata Reuben Lai, pengarah urusan kanan di Grab Financial Group, dalam satu kenyataan.

  

Bank pusat bandaraya itu akan mengeluarkan sehingga dua lesen bank digital penuh dan tiga lesen bank borong.

Bank digital penuh boleh menerima deposit dan menawarkan perkhidmatan kepada pelanggan runcit dan bukan runcit tetapi mesti diketuai oleh syarikat yang berpangkalan di Singapura.

  

Bank-bank borong akan kebanyakannya berkhidmat untuk perusahaan kecil dan sederhana. - Reuters

Berita Harian X