Rabu, 18 Disember 2019 | 12:36pm
2019 disifatkan sebagai tahun pemerkasaan bagi sektor PKS menerusi pelbagai program yang diterajui kerajaan. - Foto hiasan
2019 disifatkan sebagai tahun pemerkasaan bagi sektor PKS menerusi pelbagai program yang diterajui kerajaan. - Foto hiasan

2019 disifatkan sebagai tahun pemerkasaan PKS

KUALA LUMPUR: Tahun 2019 disifatkan sebagai tahun pemerkasaan bagi sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menerusi pelbagai program yang diterajui kerajaan, selain fasiliti pembiayaan yang diperluaskan oleh institusi perdagangan dan kewangan bagi memacu pertumbuhan.

Antara peristiwa penting pada tahun ini adalah pelancaran Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN 2030) oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada Julai, bagi memperkasakan golongan berpendapatan rendah B40 dengan menanamkan budaya keusahawanan sejajar aspirasi kerajaan untuk untuk mewujudkan satu juta pekerjaan.

DKN 2030 menggariskan tujuh elemen teras, termasuk menjana sektor pertumbuhan baharu, menambah baik pasaran buruh, dan meningkatkan kesejahteraan sosial dan modal sosial.

Melalui DKN, kerajaan menyasar PKS untuk menyumbang lebih 50 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan 30 peratus jumlah eksport menjelang 2030.

Pada 2018, PKS menyumbang 38.3 peratus atau RM521.7 juta kepada KDNK berbanding RM491.2 juta pada tahun sebelumnya, selain 17.3 peratus terhadap jumlah eksport negara.

Menteri Pembangunan Usahawan Datuk Seri Mohd Redzuan Mohd Yusof berkata, kerajaan komited untuk menyokong PKS mencapai sasaran NEP.

Kerajaan memberi komitmen kewangan RM13.7 bilion pada tahun ini bagi 164 program pembangunan PKS dan keusahawanan yang telah dilaksanakan pelbagai kementerian dan agensi.

Ini merangkumi 28 program yang memberi tumpuan kepada pelaksanaan inovasi dan teknologi menerusi komitmen kewangan berjumlah RM148 bilion, katanya.

PKS di negara ini memberi keutamaan kepada sektor perkhidmatan, menyumbang 89.2 peratus kepada jumlah perniagaan PKS, diikuti 5.3 peratus dalam sektor pembuatan, sektor pembinaan (4.3 peratus), sektor pertanian (1.1 peratus) dan sektor perlombongan dan pengkuarian (0.1 peratus).

Menurut data Jabatan Perangkaan, sejumlah 907, 065 PKS beroperasi di Malaysia, merangkumi 98.5 peratus daripada jumlah perniagaan.

Kebanyakan PKS adalah perusahaan mikro, yang terdiri daripada 76.5 peratus daripada jumlah PKS di Malaysia, PKS kecil (21.2 peratus), manakala PKS sederhana (2.3 peratus).

Bagaimanapun, di sebalik banyak tumpuan diberikan kepada PKS, usahawan masih menghadapi beberapa cabaran besar seperti menggunakan teknologi dan mendapat akses kepada pembiayaan, yang menghalang pertumbuhan dan mengelakkan mereka daripada bersaing dengan syarikat-syarikat berskala besar.

Ketua Pegawai Eksekutif SME Corporation Malaysia, Noor Azmi Mat Said, berkata sama ada perniagaan itu berkembang atau menghadapi cabaran, menguruskan aliran tunai secara berkesan adalah amat penting dan bagi kebanyakan mereka, ia adalah kunci kepada perniagaan PKS untuk bertahan.

“Tunai adalah kebimbangan utama bagi PKS untuk menjalankan operasi. Kebanyakan mereka berusaha keras untuk menguruskan dan mengekalkan aliran tunai dengan teratur.

“SME Corp sedang berbincang dengan mereka (PKS) dan institusi kewangan untuk memahami cabaran yang dihadapi (khususnya untuk mendapatkan pembiayaan),” katanya kepada BERNAMA.

Sehubungan itu, Noor Azmi berkata adalah penting untuk mengenal pasti keperluan itu dan mematuhinya bagi merancakkan pertumbuhan PKS dan pertumbuhan ekonomi.

Di masa depan, Noor Azmi menjangka sumbangan kumpulan B40 kepada perusahaan mikro akan mencatat peningkatan.

Bagi sektor halal, pada tahun ini, Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC) menerajui Program Kerjasama Penyumberan Halal (HSPP) dengan kerjasama syarikat multinasional (MNC) untuk memupuk PKS dan mewujudkan peluang perniagaan dalam industri halal.

Naib Presiden Pembangunan Industri HDC Hanisofian Alias berkata HSPP bermula Januari tahun ini dengan penyertaan 10 PKS.

“Memandangkan kebanyakan daripada mereka menghasilkan ramuan, mereka memerlukan sijil antarabangsa untuk membekalkan produk kepada MNC.

“Kami memberi kesedaran kepada mereka mengenai kepentingan mempunyai sijil antarabangsa seperti Sijil Analisis Bahaya dan Titik Kawalan Kritikal (HACCP) dan ISO 22000, namun, ketika ini kami mempunyai peruntukan untuk membantu mereka dalam perkara ini,” katanya.

Hanisofian berkata, kumpulan pertama PKS akan menamatkan program pada akhir tahun depan dan selepas itu HDC akan mengkaji semula kesannya dan mencadangkan kepada kerajaan untuk mengembangkan projek itu supaya lebih ramai usahawan akan menerima manfaat.

Beliau berkata, kira-kira 1,600 syarikat mengeksport produk mereka setakat ini, pada tahun ini dengan lebih 75 peratus daripada jumlah pengeksport halal di Malaysia.

“Kami menyaksikan aliran ini meningkat tujuh hingga lapan peratus pada setiap tahun,” katanya.

Pada 2018, jumlah eksport halal di Malaysia berjumlah RM40 bilion berbanding RM43.4 bilion pada 2017. - BERNAMA

Berita Harian X