Isnin, 16 Disember 2019 | 8:23am

ShopBack Malaysia jangka beri rebat tunai RM500,000

KUALA LUMPUR: Platform rebat tunai ShopBack Malaysia menjangka memberikan rebat tunai bernilai kira-kira RM500,000 kepada penggunanya bagi jualan 12/12 tahun ini, sekali ganda daripada jumlah dicatatkan semasa festival jualan sehari pada 2018.

Pengurus Besar Negaranya, Eddy Han, dalam satu kenyataan berkata adalah menarik untuk mengetahui bahawa acara jualan 12/12 menjadi semakin popular seperti Festival Membeli Belah Global 11/11 di negara ini dengan keseluruhan jumlah trafik, pelanggan dan pesanan yang dibuat hampir sama pada kedua-dua hari itu.

Sebagai platform rebat tunai utama di rantau ini, ShopBack bekerjasama dengan lebih 2,000 e-pedagang, termasuk 500 e-pedagang yang beroperasi di Malaysia, untuk memberi ganjaran rebat tunai sehingga 30 peratus pada bila-bila masa pembeli melayari laman web atau aplikasi ShopBack untuk membuat pembelian.

Senarai rakan kongsi e-dagangnya termasuklah Shopee, Lazada, ZALORA, Taobao, Tmall dan AliExpress daripada kumpulan Alibaba, serta Agoda, Booking.com dan KLOOK.

“Selain rebat tunai, pengguna ShopBack juga mendapat kod baucar eksklusif menerusi platform ShopBack. Di Malaysia, lebih daripada dua juta pembeli mengklik melalui ShopBack sebelum mereka melayari mana-mana gedung dalam talian, dan syarikat itu memberi ganjaran rebat tunai bernilai lebih RM50 juta kepada pengguna tempatannya,” katanya.

Menurut data ShopBack, jualan 12/12 tahun ini mengatasi trafik keseluruhan hari jualan 12/12 tahun lalu pada jam kedua jualan.

Di peringkat serantau, Indonesia dan Malaysia menerajui dari segi jumlah perbelanjaan dan kuantiti pembelian dengan lebih 7,000 pengguna secara puratanya membuat sekurang-kurangnya satu pesanan menerusi ShopBack Malaysia setiap jam.

“Di Malaysia, tiga gedung dalam talian utama semasa kempen 12/12 adalah yang sama seperti kempen 11/11. Sekali lagi, Lazada dan Shopee muncul gedung dalam talian utama.

“Perjalanan kekal sebagai kategori dengan perbelanjaan pengguna tertinggi (nilai) bagi setiap pesanan. Keseluruhannya, pengguna ShopBack membuat tempahan hotel bernilai lebih RM2.5 juta dalam masa 24 jam pada 12.12,” katanya. - BERNAMA

Berita Harian X