Jumaat, 29 November 2019 | 12:36pm
Gabenor Bank of Japan (BoJ) Haruhiko Kuroda. - Foto AFP/GettyImage
Gabenor Bank of Japan (BoJ) Haruhiko Kuroda. - Foto AFP/GettyImage

BoJ gesa reformasi struktur untuk tingkatkan potensi pertumbuhan Jepun

TOKYO: Gabenor Bank of Japan (BoJ) Haruhiko Kuroda, hari ini berkata reformasi struktur mesti mengiringi langkah rangsangan fiskal dan monetari bagi meningkatkan potensi pertumbuhan jangka panjang ekonomi.

Beliau juga memberitahu parlimen bahawa dasar monetari bank pusat yang ultra longgar bertujuan mencapai sasaran inflasi dua peratus, tidak membantu kerajaan membiayai perbelanjaannya.

Penggubal undang-undang parti pemerintah meningkatkan tekanan terhadap kerajaan untuk menyusun pakej perbelanjaan yang besar, meningkatkan kemungkinan dasar fiskal boleh memainkan peranan lebih besar dalam mengekalkan pemulihan ekonomi yang rapuh tetapi kosnya ialah kerajaan akan menanggung beban hutang yang lebih besar.

Kuroda mengulangi pandangannya bahawa kesan perbelanjaan fiskal dalam merangsang ekonomi dapat ditingkatkan jika dilengkapi dengan dasar monetari ultra longgar.

Bagaimanapun, ia tidak bermakna BoJ akan terus mencetak wang untuk mengurangkan hutang, katanya.

Kuroda berkata, reformasi struktur mesti mengiringi langkah rangsangan fiskal dan monetari bagi meningkatkan potensi pertumbuhan jangka panjang ekonomi.

Keluaran perindustrian Jepun susut pada kadar terpantas sejak awal tahun lalu pada Oktober, mendedahkan keretakan yang semakin ketara dalam ekonomi yang menghadapi kemerosotan permintaan domestik dan luar negara.

Pengeluaran perkilangan merosot 4.2 peratus pada Oktober berbanding bulan sebelumnya, demikian menurut data kementerian perdagangan hari ini, di bawah ramalan median bagi penurunan sebanyak 2.1 peratus berbanding kenaikan 1.7 peratus bulan sebelumnya.

Ia adalah penurunan terpantas sejak Januari tahun lalu.

Saham Tokyo mencatat perubahan kecil hari ini, dan dijangka mencatat kenaikan tiga bulan berturut-turut, walaupun pelabur menunggu lebih banyak jaminan bahawa undang-undang Amerika Syarikat (AS) yang menyokong penunjuk perasaan Hong Kong tidak akan menggagalkan prospek perjanjian perdagangan AS-China.

Indeks penanda aras Nikkei hampir mendatar pada 23,408.04 pada tengah hari tetapi berada di landasan untuk mencatat kenaikan 2.1 peratus bulan ini. - Reuters

Berita Harian X