Isnin, 18 November 2019 | 3:44pm
Madani (kanan) bertukar dokumen dengan Dr Wan Azhar pada majlis pemeteraian MoU di antara UMP dengan MARii di Kuala Lumpur, hari ini. - NSTP/Nik Hariff Hassan

MARii siap sedia memasuki bidang baharu industri automotif

KUALA LUMPUR: Sebagai persediaan awal dalam memasuki bidang baharu industri automotif, khususnya kenderaan generasi berikutnya (NxGV) dan mobiliti perkhidmatan, Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) hari ini memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Universiti Malaysia Pahang (UMP).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Madani Sahari, berkata MoU itu menggariskan kerjasama dalam penyelidikan, akademik, program pertukaran penuntut dan dwi sarjana yang akan turut memberi laluan kepada perkongsian pintar pengetahuan antara kedua-dua pihak.

“Kemajuan teknologi yang berterusan melahirkan arah aliran baharu yang akan mengubah cara kita mendekati kaedah pembuatan.

“Bidang baharu dalam industri automotif seperti kenderaan generasi berikutnya (NxGV), Mobiliti Sebagai Perkhidmatan (MaaS) dan Industri 4.0, memerlukan kemahiran baharu, pengetahuan dan pengenalan kepakaran untuk melancarkan peralihan ke arah merealisasikan mobiliti masa depan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pemeteraian MoU itu di sini, hari ini.

Madani mewakili MARii manakala UMP oleh Naib Canselornya, Professor Ir Dr Wan Azhar Wan Yusoff.

Hadir sama, Pengerusi Lembaga Pengarah UMP, Datuk Seri Ibrahim Ahmad dan Maurice Kettner, Profesor Dr Kejuruteraan Hochscule Karlsruhe Technik und Wirtschaft (HsKA), universiti sains lanjutan berpangkalan di Jerman.

Madani berkata, MoU yang dimeterai itu akan memperkenalkan Program Dwi Ijazah Sarjana Kejuruteraan Automotif di Akademi Teknologi MARii di Rawang.

Program dwi ijazah sarjana yang mengambil masa dua tahun itu katanya, menawarkan kursus dalam topik seperti elektrifikasi ‘drivetrain’; proses kecerdikan buatan (IA) dalam automasi; sistem bateri; Sistem BUS dan protokol diagnosis; dan bahagian lain yang berkaitan kejuruteraan automotif.

“Program ini akan membuka laluan bagi pelajar dan tenaga kerja masa depan untuk meningkatkan pengetahuan dan pengalaman mereka dalam industri automotif, terutamanya dalam bidang mobiliti baru seperti AI, automasi dan eletrifikasi drivetrain,” katanya.

Sementara itu, Dr Wan Azhar berkata penuntut akan diajar oleh profesor berpengalaman dari HsKA dan UMP, yang mana mereka berpeluang melaksanakan projek akhir di bawah pengawasan profesor HsKA di Malaysia dan Jerman.

Beliau berkata, UMP menjalin kerjasama dengan HsKA sejak 2012 menawarkan program dwi sarjana dalam kejuruteraan automotif.

Setakat ini, UMP katanya menghasilkan 57 graduan lulusan kejuruteraan automotif, kebanyakannya bekerja dengan syarikat multinasional Jerman.

Berita Harian X