Khamis, 7 November 2019 | 1:32pm

Jemaah Menteri putuskan ratifikasi CPTPP

KUALA LUMPUR: Keputusan muktamad sama ada Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) akan diratifikasi atau sebaliknya akan ditentukan oleh jemaah Menteri.

Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) dalam satu kenyataan berkata, perkara itu diputuskan pada mesyuarat ketujuh EAC yang berlangsung di Putrajaya, semalam.

Menurut EAC, mesyuarat yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad itu membincangkan hasil kajian impak yang dijalankan oleh Kementerian Hal Ehwal Ekonomi (MEA) ke atas CPTPP.

“Perjanjian perdagangan seperti CPTPP perlu mengambil kira komitmen kerajaan dalam melaksanakan dasar pembangunan yang inklusif agar manfaat CPTPP yang dijana dapat dinikmati bersama dan selari dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030,” jelas EAC.

Implikasi dan potensi impak CPTPP juga telah dibincangkan secara mendalam pada mesyuarat berkenaan.

Selain itu, seiring dengan usaha kerajaan untuk mewujudkan suasana pasaran domestik yang lebih kompetitif, efisien dan kondusif, EAC turut membincangkan hasil kajian semula pasaran sektor makanan negara di bawah Akta Persaingan 2010.

Kajian ini dijalankan oleh Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC).

Hasil pembentangan penemuan kajian ini telah diteliti dan turut membincangkan prospek penstrukturan semula rantaian bekalan makanan menerusi platform ekonomi digital dengan pembabitan aktif sektor swasta bagi menurunkan harga barangan keperluan.

-BERNAMA

Berita Harian X