Khamis, 7 November 2019 | 1:15pm
- Foto hiasan

Ekonomi Filipina berkembang di luar jangkaan

MANILA: Ekonomi Filipina pada suku ketiga berkembang lebih pantas berbanding unjuran ahli ekonomi, apabila kerajaan mengatasi isu kekangan perbelanjaan.

Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berkembang 6.2 peratus berbanding setahun lalu, lebih tinggi berbanding anggaran median 6.0 peratus yang dibuat oleh kaji selidik Bloomberg.

Pertumbuhan lebih pantas berbanding 5.5 peratus pada suku kedua, apabila penangguhan belanjawan menyebabkan perbelanjaan kerajaan terhenti seketika.

Perbelanjaan kerajaan melonjak 9.6 peratus pada suku ketiga berbanding setahun lalu, selepas belanjawan diluluskan pada April.

Setiausaha Perancangan Ekonomi, Ernesto Pernia berkata kerajaan akan mempercepatkan beberapa projek yang ditunda berikutan penangguhan belanjawan.

Ekonomi negara itu perlu berkembang 6.7 peratus pada suku keempat bagi membolehkan kerajaan mencapai paras terendah sasaran pertumbuhan 6.0 peratus hingga 7.0 peratus tahun ini, katanya.

Sektor pembinaan melonjak 16.3 peratus pada suku ketiga berbanding setahun lalu; pertanian dan perikanan meningkat 3.1 peratus dan kewangan menokok 10 peratus.

Perbelanjaan swasta berkembang 5.9 peratus, manakala pelaburan menguncup buat suku kedua, sebanyak 2.1 peratus.

Ahli ekonomi berkata, pertumbuhan pada suku ketika meningkatkan lagi peluang Filipina mencatatkan pertumbuhan kira-kira 6.0 peratus tahun ini.

“Pertumbuhan kembali ke paras 6.0 peratus, memberikan harapan untuk membolehkan sasaran pertumbuhan seluruh tahun dapat dicapai, namun ia berkemungkinan begitu hampir,” kata Ahli Ekonomi Kanan ING Groep NV di Manila, Nicholas Mapa.

“Peluang cerah berikutan perbelanjaan kerajaan sudah kembali dan dalam skala besar.”

Gabenor bank pusat, Benjamin Diokno sudah memberikan isyarat tiada lagi pelonggaran dasar monetari tahun ini, dengan berkata ia melaksanakan ‘lebih daripada mencukupi’ untuk menyokong ekonomi selepas pemotongan kadar faedah sebanyak 75 mata asas serta pengurangan dalam nisbah rizab.

-Bloomberg

Berita Harian X