Rabu, 6 November 2019 | 6:03pm
TIMBALAN Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dr Mohd Radzi Md Jidin berucap pada majlis perkongsian maklumat dengan Affin Hwang Capital bertajuk “Apa yang diharapkan dalam memperkasakan dimensi RMKe-12, di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Eizairi Shamsudin
TIMBALAN Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dr Mohd Radzi Md Jidin berucap pada majlis perkongsian maklumat dengan Affin Hwang Capital bertajuk “Apa yang diharapkan dalam memperkasakan dimensi RMKe-12, di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Eizairi Shamsudin

Sumber diguna secara berhemah biayai RMKe-12

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menggunakan sumber kewangan secara berhemah untuk membiayai pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) yang akan dibentangkan pada suku ketiga tahun depan.

Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dr Mohd Radzi Md Jidin, berkata bagi memastikan pelaksanaan RMKe-12 dapat memanfaatkan seluruh rakyat, kerajaan akan membabitkan pihak berkepentingan termasuk kerajaan negeri dan agensi kerajaan untuk menggarap rancangan pembangunan lima tahun itu.

“Dengan sumber kewangan yang terhad, kerajaan harus menggunakan pendekatan berhemah untuk membiayai RMKe-12 bagi memastikan semua pembangunan dinikmati sama rata oleh rakyat.

“Kita lihat banyak projek yang dilaksanakan khususnya di kawasan luar bandar tidak digunakan sepenuhnya sehingga menjurus kepada pembaziran, sedangkan pembangunan sama diperlukan di kawasan lain.

“Dengan pendekatan holistik membabitkan semua pihak berkepentingan, RMKe-12 bakal menjadi rancangan pembangunan 2021-2025 yang lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis perkongsian maklumat dengan Affin Hwang Capital bertajuk “Apa yang diharapkan dalam memperkasakan dimensi RMKe-12, di sini, hari ini.

Professor Ekonomi Sunway University, Prof Dr Yeah Kim Leng menjadi moderator dalam perkongsian anjuran Affin Hwang Capital.

Mohd Radzi berkata, pelaksanaan RMKe-12 adalah terjemahan daripada Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) yang diumumkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini.

Katanya, rancangan pembangunan itu akan memberi tumpuan terhadap penstrukturan semula ekonomi Malaysia supaya lebih berdaya saing dan manfaatnya dinikmati rakyat.

“WKB 2030 membabitkan dasar yang holistik dan meliputi pelbagai kumpulan dan ruang lingkup.

“Kita dapati pelaksanaan WKB 2030 akan membawa ekonomi Malaysia berada pada landasan tepat untuk berkembang sekali gus bakal menjadi cerminan kepada RMKe-12 dan juga RMKe-13,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, ekonomi Malaysia berkembang dengan baik, namun pertumbuhan itu tidak dapat dinikmati oleh seluruh rakyat.

“Ekonomi kita seolah-okah tersekat antara berpendapatan rendah dan tinggi kerana strukturnya tidak betul dan perkembangannya tidak selaras dengan pembangunan sosio rakyat.

“Perkembangan ekonomi hanya tertumpu kepada bandar besar seperti Kuala Lumpur dan Selangor yang mewakili 40 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) tetapi tidak di negeri seperi Kedah, Perlis, Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak.

“Ia (perkembangan ekonomi) tidak seimbang. Kerajaan melihat perkara ini supaya kita mampu memajukan pembangunan ekonomi di segenap pelusuk negara,” katanya.

Berita Harian X