Khamis, 24 Oktober 2019 | 3:33pm
Pengarah Jabatan Pengawasan Kewangan Bank Negara Malaysia (BNM) Qaiser Iskandar Anwarudin semasa taklimat mengenai Penglibatan Media Bank terhadap Ketulenan Rumah Tangga di Sasana Kijang, Bank Negara Malaysia, Kuala Lumpur. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria
Pengarah Jabatan Pengawasan Kewangan Bank Negara Malaysia (BNM) Qaiser Iskandar Anwarudin semasa taklimat mengenai Penglibatan Media Bank terhadap Ketulenan Rumah Tangga di Sasana Kijang, Bank Negara Malaysia, Kuala Lumpur. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria

Kedudukan kewangan isi rumah Malaysia berdaya tahan

KUALA LUMPUR: Kedudukan kewangan isi rumah Malaysia kekal berdaya tahan walaupun paras agregat hutang meningkat, kata Pengarah Jabatan Pemantauan dan Pengawasan Kewangan Bank Negara Malaysia (BNM), Qaiser Iskandar Anwarudin.

Beliau berkata, ini terbukti menerusi nisbah rosot nilai pinjaman yang lebih baik kepada 1.3 peratus berbanding purata lima tahun sebanyak 1.5 peratus, selain bahagian pendapatan boleh guna yang rendah bagi tujuan pembayaran semula pinjaman pada 36 peratus.

Menurutnya, nisbah aset kewangan mudah tunai-kepada-hutang isi rumah juga kekal memadai pada 1.5 kali manakala nisbah aset kepada hutang juga lebih baik kepada 4.1 kali.

“Secara agregat, isi rumah terus berdaya tahan dengan kedudukan kewangan masing-masing dalam keadaan terkawal,” katanya pada sesi taklimat bersama media di sini, hari ini.

Beliau berkata, paras hutang isi rumah Malaysia telah menyederhana kepada 82.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berbanding kemuncak 86.9 peratus pada 2015, walaupun ini masih antara yang tertinggi di Asia dan negara-negara berpendapatan tinggi lain seperti Amerika Syarikat (75 peratus), Hong Kong (73.2 peratus), Jepun (58.2 peratus) dan Singapura (53.6 peratus).

Bagaimanapun, katanya, dua pertiga daripada pinjaman isi rumah itu adalah bagi tujuan mengumpul kekayaan terutama untuk membeli rumah dan sekuriti seperti unit Amanah Saham Bumiputera (ASB).

“Lebih separuh daripada hutang isi rumah itu diperolehi bagi tujuan perumahan khususnya membeli rumah mampu milik dengan 84 peratus membabitkan pinjaman disediakan oleh pihak bank,” katanya.

Menurutnya, segmen tertentu isi rumah didapati terus memaparkan kelemahan terhadap kejutan, terutama mereka yang berpendapatan kurang RM5,000 sebulan berikutan baki gaji lebih rendah selepas ditolak tanggungjawab membayar hutang dan perbelanjaan sedia ada.

Malah, golongan itu adalah majoriti atau 80 peratus daripada peserta program pengurusan kredit kendalian Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).

“Kira-kira dua pertiga daripada jumlah kebankrapan adalah disebabkan oleh pinjaman perbelanjaan, khususnya dalam kalangan peminjam yang berpendapatan kurang RM5,000 sebulan,” katanya.

Berita Harian X