Rabu, 23 Oktober 2019 | 3:33pm
DAIHATSU Motor Co Ltd (DMC).
DAIHATSU Motor Co Ltd (DMC).

DMC enggan ulas rundingan kereta nasional ketiga

TOKYO: Daihatsu Motor Co Ltd (DMC) enggan mengulas sebarang butiran terperinci mengenai kerjasama dengan DreamEDGE Sdn Bhd (DreamEDGE) bagi membangunkan kereta nasional ketiga Malaysia.

Presidennya, Soichiro Okudaira, berkata sebarang perkembangan mengenai projek kereta nasional yang diumumkan pada Jun lalu hanya didedahkan kemudian.

“Kami tidak dapat kongsikan sebarang maklumat mengenai kereta nasional ketiga kerana perbincangan baharu bermula.

“DMC juga tidak dapat kongsikan sama ada untuk projek ini kami menggunakan teknologi baharu atau sedia ada.

“Cuma kami akan memberi kerjasama terhadap permintaan kerajaan Malaysi dan pihak berkepentingan, namun ia tidak akan didedahkan kepada umum buat masa ini,” katanya kepada media Malaysia selepas memperkenalkan empat kereta konsep Daihatsu bersempana Tokyo Motor Show 2019 di sini, hari ini.

Ogos lalu, kerajaan mengumumkan bahawa kereta nasional ketiga akan dibangunkan DreamEDGE dengan sokongan teknologi daripada DMC.

Projek kereta nasional ketiga dicetuskan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad pada Jun lalu, kira-kira sebulan selepas beliau kembali menjadi Perdana Menteri susulan kemenangan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Prototaip bagi model pertamanya dijangka diumumkan Mac tahun depan dengan model yang disebut-sebut adalah kereta sedan empat pintu.

Sementara itu, DMC melancarkan empat kereta konsep dikenali sebagai lcolco, TsumuTsumu, WaiWai dan WakuWaku.

Kereta konsep lcolco adalah pengangkutan awam dengan ciri pandu sendiri, manakala TsumuTsumu ialah trak mini bersaiz kompak yang didatangkan dengan kabin lapang dan bahagian kargo yang besar.WaiWai pula van mini dengan ruang yang sederhana untuk kegunaan gaya hidup masa kini, sementara WakuWaku pula kenderaan utiliti sukan (SUV) mini.

Berita Harian X