Rabu, 23 Oktober 2019 | 1:34pm

McDonald's gagal capai sasaran keuntungan

NEW YORK: McDonald's Corp gagal mencapai anggaran Wall Street untuk keuntungan buat kali pertama dalam tempoh dua tahun pada Selasa.

Ia berikutan lebih banyak pelaburan untuk mengemaskinikan restoran Amerika Syarikat (AS) dan mempercepatkan perkhidmatan di rantaian makanan segera itu, yang telah memberi kesan terhadap rantaian restoran makanan segera terbesar di dunia itu, menyebabkan sahamnya turun empat peratus.

Pesaing rantaian makanan segera di AS telah mencabar penguasaannya dengan makanan nilai dan menu baharu, termasuk burger berasaskan tumbuhan dan pengganti daging yang dilancarkan oleh pesaing termasuk Burger King milik Restaurant Brands International Inc dan KFC milik Yum Brands Inc.

  

McDonald's dilihat terlambat memperkenalkan semula sandwic ayam dan saingannya Wendys Co telah mula menyediakan sarapan pagi.

  

Dalam menghadapi jumlah pelanggan yang semakin merosot, McDonald's telah merombak 14,000 restoran miliknya di AS untuk memasukkan kios pesanan digital, pesanan mudah alih serta perkhidmatan bayar dan ambil, sambil menjalin kerja sama dengan perkhidmatan penghantaran berasaskan aplikasi, GrubHub Inc, Uber Eats dan DoorDash.

 

Pelaburan itu membawa kepada kenaikan kos operasi sebanyak dua peratus kepada kira-kira AS$3 bilion (RM12.58 bilion), menyebabkan McDonald's mencatatkan keuntungan yang lebih kecil dari jangkaan iaitu AS$2.11 (RM8.85) sesaham berbanding anggaran purata AS$2.21 (RM9.27), menurut data IBES dari Refinitiv.

  

"Dunia adalah berbeza daripada tahun 1955," kata Ketua Pegawai Eksekutif, Steve Easterbrook, semasa taklimat dengan pelabur.

  

"Kami sedar kami perlu mendahului perubahan ini, melabur, melaksanakan dan berkembang dengan rasa mendesak dan tujuan yang mendalam," katanya.

  

Jumlah pelanggan AS adalah negatif - trend seluruh industri dijangka berterusan sehingga akhir tahun, terutamanya disebabkan oleh keadaan ekonomi yang lemah, menurut penyelidikan TDn2K.

  

Jualan di restoran AS dibuka untuk sekurang-kurangnya 13 bulan meningkat 4.8 peratus pada suku ketiga berakhir 30 September, di bawah pertumbuhan 5.17 peratus yang diramal oleh penganalisis, menurut data Refinitiv.

"Firasat kami memberitahu kami bahawa McDonald's ditandingi oleh Wendy dan Burger King pada suku ketiga,” kata penganalisis Cowen, Andrew Charles dalam satu nota.

  

Walaupun gagal mencapai sasaran di AS, penganalisis Bernstein, Sara Senatore berkata jualan "terus menjadi antara yang terbaik dalam industri" dan faedah dari pengubahsuaian kedai akan memberi kesan membina pada masa akan datang.

  

Di peringkat global, syarikat itu melaporkan pertumbuhan jualan yang boleh dianggap lebih baik daripada jangkaan iaitu 5.9 peratus hasil prestasi kukuh di pasaran seperti United Kingdom (UK) dan Perancis. - Reuters

Berita Harian X