Selasa, 22 Oktober 2019 | 7:20pm
Gambar fail, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Riad Asmat. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

AirAsia tidak akan penuhi permintaan MAVCOM

KUALA LUMPUR: Kumpulan AirAsia tidak akan memenuhi permintaan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) yang mahukan butiran terperinci kesesakan di kaunter imigresen Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2).

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Bhd, Riad Asmat, berkata sudah menjadi tanggungjawab suruhanjaya itu sebagai pengawal selia menjalankan pemeriksaan serta menyiasat isu yang dibangkitkan.

"Apa perlunya MAVCOM meminta bukti dari AirAsia sedangkan isu ini telah dibangkitkan secara terbuka dalam liputan berita dan media sosial?

"Kelemahan dan kegagalan MAVCOM dalam mengambil tindakan membuktikan bahawa ia telah mengabaikan tanggungjawabnya dalam melindungi hak pengguna," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, MAVCOM menyatakan AirAsia sepatutnya memberikan rekod harian berhubung kadar kesesakan yang didakwa berlaku di kaunter imigresen, sebelum pihaknya mengadakan perbincangan bagi merangka tindakan lanjut.

Sejak Mei 2018, MAVCOM telah mengutip RM1 daripada setiap penumpang yang menggunakan semua lapangan terbang di Malaysia.

MAVCOM katanya telah mengutip dana anggaran kira-kira RM30 juta, jika tidak lebih, dari caj perkhidmatan pengawalseliaan itu.

Untuk rekod, sehingga kini katanya, MAVCOM masih belum menerbitkan Laporan Tahunannya untuk 2018. 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X Bhd, Benyamin Ismail, pula berkata semua pihak perlu mengetahui kegagalan MAVCOM dalam melindungi pengguna industri penerbangan yang telah membayar caj terbabit.

Beliau berkata, kesesakan di kaunter imigresen klia2 semakin teruk setiap hari dan menimbulkan masalah kepada penumpang.

"Atas kekecewaan ini, kami menulis kepada MAVCOM dan meminta mereka membantu menyelesaikan masalah ini.

“Ini bukanlah kali pertama mereka enggan bertindak ke atas aduan atau isu yang dilaporkan, dan kami pasti ia bukan yang terakhir.

Tuntutan mahkamah berjumlah RM480 juta yang difailkan terhadap MAHB untuk kerugian isu operasi di klia2 dua minggu lalu adalah keputusan yang terpaksa dilakukan atas sebab keengganan MAVCOM menjadi pengantara seperti yang diminta sebelum ini.

"MAVCOM juga enggan menjadi pengantara dalam pertikaian di antara AirAsia dan MAHB mengenai Caj Perkhidmatan Penumpang (PSC) klia2 sehingga memaksa kerajaan membuat keputusan untuk menurunkan kadar PSC bagi klia2 dan lapangan terbang lain.

"Keengganan MAVCOM ini jelas bercanggah dengan Seksyen 75 Akta Mavcom 2015 itu sendiri," katanya.

Berita Harian X