Selasa, 22 Oktober 2019 | 6:25pm

Malaysia antara peneraju kewangan alternatif dunia

KUALA LUMPUR: Malaysia adalah antara 10 peneraju utama penanda aras kawal selia kewangan alternatif di dunia dan Asia Pasifik, demikian mengikut laporan kaji selidik terkini yang dijalankan Bank Dunia.

Dalam laporan kaji selidik global membabitkan 111 bidang kuasa kawal selia bertajuk "Regulating Alternative Finance - Results from a Global Regulator Survey" itu menunjukkan Malaysia berada sebaris dengan United Kingdom (UK), Amerika Syarikat (AS) dan Singapura yang paling kerap menjadi rujukan membabitkan kawal selia kewangan alternatif.

Ketua Ahli Ekonomi Sektor Kewangan Bank Dunia, Margaret Miller, berkata kewangan alternatif berkembang pantas di Malaysia dengan memperlihatkan kewangan alternatif di negara ini berkembang lebih 125 peratus setiap tahun antara 2013 dan 2017.

Beliau berkata, pendanaan ekuiti ramai (ECF) dilihat memberi impak positif terhadap keterangkuman kewangan dengan 70 peratus penerima manfaat adalah perniagaan yang dimiliki usahawan wanita dan belia di bawah 35 tahun.

Katanya, Malaysia juga menjadi negara ASEAN pertama mewujudkan rangka kerja kawal selia ECF pada Disember 2015 dan bagi kawal selia pembiayaan antara rakan setara (P2P) pada 2016.

“Berdasarkan maklum balas, kami mendapati dengan jelas bahawa Malaysia adalah antara negara yang menjadi penanda aras bagi rangka kerja kawal selia dalam pembiayaan alternatif dan antara peneraju utama di Asia Pasifik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan laporan kaji selidik terkini itu di Persidangan Tahunan Fintech SCxSC 2019 anjuran Suruhanjaya Sekuriti Malaysia di sini, hari ini.

Kaji selidik itu dilaksanakan Bank Dunia bersama Cambridge Centre for Alternative Finance menerusi soal jawab secara dalam talian yang dijalankan antara April-Jun tahun ini.

Responden kaji selidik itu termasuk pengawal selia sekuriti, pihak berkuasa pasaran modal dan bank pusat.

Berdasarkan perangkaan terkini, ketika ini terdapat 21 platform ECF dan P2P berdaftar dengan SC, yang mana secara kolektif mengumpul sebanyak RM587 juta denganlebih 1,600 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (MSME) mendapat manfaat daripada  platform pembiayaan berasaskan pasaran alternatif itu.

Berita Harian X