Selasa, 22 Oktober 2019 | 6:14pm
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Dr. Ong Kian Ming (ketiga dari kiri), Pengarah Perkhidmatan Perundangan dan Pengurusan Risiko, Suruhanjaya Tenaga, Shahrilnazim Shaari (kiri), Ketua Pegawai Eksekutif, SIRIM QAS International Sdn. Bhd., Mohd Azanuddin Salleh (kedua dari kiri), Pengerusi SIRIM, Tan Sri Dr. Ahmad Tajuddin Ali (ketiga dari kanan), Pengerusi Persatuan Pengedar Peralatan Elektrik Malaysia, Vincent Chew (kanan kedua) dan Naib Presiden Persatuan Pengedar Peralatan Elektrik Malaysia, VT Doshi (kanan) ketika melancarkan Kempen Kesedaran Keselamatan di Menara MITI. - Foto Saifullizan Tamadi

58 peratus perkakas elektrik tiada kelulusan Sirim-ST

KUALA LUMPUR: Sebanyak 58 peratus perkakas elektrik yang dibeli pengguna tahun lalu tidak mempunyai kelulusan daripada Sirim-ST dan tidak mencapai standard ditetapkan kerajaan.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dr Ong Kian Ming, berkata angka itu bukan hanya sekadar menunjukkan bahaya kepada keselamatan pengguna, tetapi juga satu kerugian kepada negara apabila nyawa dijadikan sebagai pertaruhan.

Sehubungan itu, katanya, penganjuran kempen kesedaran keselamatan untuk meningkatkan kesedaran kepentingan peralatan elektrik yang diluluskan oleh Sirim-ST dibuat tepat pada masanya ketika pasaran dibanjiri dengan banyak produk elektrik di bawah standard.

"Kempen selama sembilan bulan ini sudah tentu akan membantu mendidik orang awam mengenai tanggungjawab mereka dalam memastikan produk sebegini tidak digunakan atau berada di dalam rumah mereka.

"Kita juga berharap menerusi kempen ini untuk bekerjasama dengan pengeluar dan pengedar bagi meningkatkan kesedaran mengenai ancaman keselamatan yang dibawa oleh produk sedemikian kepada pengguna," katanya pada majlis pelancaran kempen berkenaan di sini, hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi SIRIM, Tan Sri Dr Ahmad Tajuddin Ali.

Mengulas lanjut Kian Ming berkata, kebanyakan 58 peratus produk elektrik yang tidak diluluskan Sirim-ST itu dibeli secara dalam talian dari luar negara menggunakan portal e-dagang.

"Kerajaan tidak bercadang untuk mengawal selia atau menyekat pembelian produk ini dari dalam talian kerana kita ketika ini mempunyai perjanjian perdagangan bebas dengan banyak negara.

"Tetapi sebaliknya kita lebih mahu memperkasakan pengguna dengan mendidik kesedaran kepada mereka supaya menjadi lebih peka dan bertanggungjawab dengan pembelian mereka.

"Faktor harga (yang murah) mungkin menjadi pilihan pengguna untuk membeli produk tidak diluluskan Sirim-ST ini, tetapi mereka juga seharusnya memikirkan soal keselamatan," katanya.

Berita Harian X