Selasa, 22 Oktober 2019 | 5:32pm
- Gambar hiasan

'Kualiti minyak sawit Indonesia tidak setanding Malaysia'

KUALA LUMPUR: Indonesia tidak mampu untuk membekalkan minyak sawit kepada India jika negara itu menghentikan pembelian minyak sawit dari Malaysia.

Pegawai kanan industri minyak sawit Indonesia yang enggan dikenali berkata, pengeluaran bekalan minyak sawit Indonesia ketika ini lebih tinggi berbanding Malaysia, tetapi kualitinya tidak setaraf dengan Malaysia.

“Memang lebih banyak pengeluaran kami tetapi perlu diingat 40 peratus bekalan minyak sawit Indonesia adalah daripada pekebun kecil, tidak seperti di Malaysia yang mempunyai sistem tersendiri dalam menjaga kualiti.

“Pekebun kecil di Indonesia tidak menumpukan kepada kualiti, tanpa bantuan pihak berwajib dan ia sedikit sebanyak menjejaskan bekalan minyak sawit mentah di sana.

“Jika India menghentikan pembelian minyak sawit dari Malaysia, Indonesia berkemungkinan besar terpaksa membeli bekalan itu dari Malaysia.

“Ini kerana Indonesia tidak bergantung sepenuhnya kepada pasaran eksport kerana jumlah penggunaan tempatan juga tinggi,” katanya.

Jangkaan penggunaan minyak sawit global pada 2020 adalah sebanyak 83.80 juta tan dengan Indonesia menjadi negara pengguna terbanyak minyak sawit pada 18 juta tan; India (10.20 juta tan) dan China (10 juta tan).

Indonesia dikatakan menjadi pilihan India jika negara berkenaan secara rasminya memboikot produk dari Malaysia selain harga pasaran minyak sawit mentah Indonesia yang lebih rendah berbanding Malaysia.

Tinjauan pasaran Palm Oil Analytics (POA) bagi suku keempat dan separuh pertama 2020 meramalkan pengeluaran minyak sawit Indonesia akan menurun.

Pengeluaran Indonesia dijangka meningkat hanya satu juta tan pada 2020 disebabkan ketidaktentuan iklim yang berlaku pada Ogos dan September 2019.

Berita Harian X