Selasa, 22 Oktober 2019 | 4:02pm
Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, Senator Dr Mohd Radzi Jidin (tengah) dengan Presiden Akauntan Antarabangsa MIA, Huang Shze Jiun (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Akauntan Antarabangsa MIA, Dr Nurmazilah Mahzan semasa Persidangan Akauntan Antarabangsa MIA Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. - Foto Nurul Shafina Jemenon

AI tidak akan ganti kerjaya akauntan

KUALA LUMPUR: Kemunculan kepintaran buatan (AI) tidak akan menggantikan kerjaya akauntan pada masa depan, kata Presiden Institut Akauntan Malaysia (MIA), Huang Shze Jiun.

Beliau berkata, peranan akauntan tidak akan pupus tetapi sebaliknya bertukar memainkan peranan yang lebih strategik dengan tumpuan lebih khusus.

AI, katanya, dapat mengumpul data dengan lebih pantas, tetapi akuantan tetap diperlukan bagi mencerna dan menganalisa data besar secara lebih berkesan dengan pertimbangan tertentu.

“AI akan menawarkan banyak peluang bagi akauntan untuk menambah baik keberkesanannya, selain menawarkan lebih nilai kepada perniagaan," katanya kepada pemberita di Persidangan Akauntan Antarabangsa MIA 2019 di sini, hari ini.

Pelancaran disempurnakan Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi  Dr Mohd Radzi Md Jidin.

Hadir sama ialah Ketua Pegawai Eksekutif MIA, Dr Nurmazilah Mahzan.

Dalam perkembangan lain, Shze Jiun berkata MIA berharap Akta Akauntan baharu yang memberikannya lebih kuasa sebagai pengawal selia dan pembangun profesion perakaunan di negara ini, dapat dijadikan undang-undang dalam tempoh setahun dari sekarang.

Beliau berkata, antara yang termasuk dalam akta baharu itu ialah lebih banyak kuasa untuk menyiasat diberikan kepada MIA bagi membolehkan badan itu melaksanakan bidang kuasa secara lebih berkesan dalam persekitaran perniagaan yang lebih kompleks.

Berita Harian X