Selasa, 22 Oktober 2019 | 2:47pm
Penunjuk perasaan Korea Selatan mengadakan demonstrasi mengutuk iklan Uniqlo di luar kedai Uniqlo di Seoul. - Foto AFP

Iklan kontroversi Uniqlo hangatkan pertikaian Korea, Jepun

SEOUL: Pertikaian antara Korea Selatan dan Jepun semakin hangat, apabila jenama pakaian dari negara matahari terbit itu, Uniqlo, berdepan kecaman daripada pengguna.

Ia berikutan satu iklan baharu yang dikeluarkan syarikat itu dikritik kerana mengajuk mangsa buruh paksa dan pekerja pelacuran perang.

Satu Video YouTube yang dihasilkan oleh seorang pelajar Korea Selatan untuk membuat parodi ke atas iklan itu menjadi tular dan penunjuk perasaan menyasarkan gedung Uniqlo, mendesak supaya syarikat itu meminta maaf.

Hubungan antara kedua-dua merosot ke tahap terendah dalam tempoh beberapa dekad selepas keputusan mahkamah tinggi Korea Selatan tahun lalu mengarahkan supaya firma Jepun membayar pampasan kepada buruh paksa perang.

Julai lalu, Jepun mengetatkan kawalan terhadap eksport tiga barangan teknologi tinggi ke Korea Selatan, mencetuskan boikot ke atas produk Jepun.

Meraih lebih 101,000 tontonan dalam dua hari, video parodi 19 saat yang dihantar Sabtu lalu meniru iklan komersial Uniqlo yang mula ditayangkan di Korea Selatan dan pasaran lain bulan ini.

Dalam iklan komersial itu, Iris Apfel, ikon gaya hidup Amerika Syarikat (AS) berusia 97 tahun yang mempunyai 1.4 juta pengikut di Instagram, berbual bersama pereka fesyen berusia 12 tahun, Kheris Rogers.

Semasa Rogers bertanyakan pakaian yang digayakan semasa beliau remaja, Apfel berkata: “Saya tidak boleh mengingatinya sejauh itu!”

Tanpa menterjemahkan secara langsung ayat itu, iklan komersial yang ditayangkan di Korea Selatan terkandung sarikata yang berkata: “Aduh! Bagaimana saya boleh mengingati perkara 80 tahun dahulu?”

Dalam video parodi itu pula, seorang pelajar kolej dalam jurusan sejarah Korea Selatan, Youn Dong-hyeun, berdiri bersama Yang Geum-deok, seorang wanita berusia 90 tahun yang menjadi buruh paksa untuk Mitsubishi semasa Perang Dunia Kedua.

Youn bertanyakan betapa sukar kehidupan Yang semasa beliau mudah.

“Mustahil untuk melupakan memori yang begitu menyakitkan itu,” jawabnya.

Uniqlo, yang dimiliki oleh Fast Retailing Co Ltd menarik balik iklan itu di Korea Selatan, Sabtu lalu.

-Reuters

Berita Harian X