Selasa, 22 Oktober 2019 | 2:27pm
MENTERI Industri Utama, Teresa Kok dan Timbalan Menteri Pertanian Hal Ehwal Ekonomi Republik Indonesia, Musdhalifah Machmud ketika ditemui pada majlis pelancaran Persidangan Tinjauan Bekalan dan Permintaan Sawit (POSDOC) pertama di Bangi, hari ini. - Foto Rohanis Shukri

Malaysia, Indonesia fail kes diskriminasi sawit ke WTO

BANGI: Malaysia dan Indonesia akan memfailkan kes berhubung diskriminasi minyak sawit kepada Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO)

Menteri Industri Utama, Teresa Kok, berkata kedua-dua negara komited mencabar Akta Delegasi Kesatuan Eropah di WTO hujung tahun ini.

Beliau berkata, tindakan itu bertujuan memerangi cubaan diskriminasi terhadap sumber komoditi utama negara, khususnya dalam kalangan negara Kesatuan Eropah (EU).

“Negara pengimport utama terus mengenakan sekatan perdagangan ke atas minyak sawit kerana pelbagai sebab.

“Akta Delegasi EU untuk mengehadkan minyak kelapa sawit bagi penggunaan biodiesel akan terus memberikan sentimen penurunan harga di peringkat antarabangsa kerana publisiti negatif terhadap minyak sawit dan harga akan terjejas secara negatif.

“EU telah mengenakan had untuk Glycidyl Esters (GE) dan tidak lama lagi had untuk 3-MCPD Esters yang mungkin memberi kesan ke atas penggunaan minyak sawit di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap melancarkan Persidangan Tinjauan Bekalan dan Permintaan Sawit (POSDOC) pertama di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Kok berkata industri negara mesti bersedia untuk menjangkakan sebarang cabaran halangan perdagangan dan yang paling penting menangani isu terutama mengenai keselamatan makanan.

Pada 10 Jun lalu, Parlimen EU meluluskan Akta Delegasi untuk menyekat dan melarang biodiesel minyak sawit menjelang 2030.

Akta Delegasi adalah diskriminasi terhadap ekonomi negara-negara membangun di Asia Tenggara, Afrika dan Amerika Latin yang menghasilkan minyak sawit.

Tindakan Parlimen Eropah meluluskan Akta Delegasi adalah perkara yang tidak menghormati norma perdagangan global dan kedaulatan negara kerana ia mengabaikan skim persijilan berasaskan kerajaan Asean, iaitu Minyak Sawit Lestari Indonesia (ISPO) dan Minyak Sawit Lestari Malaysia (MSPO).

Berita Harian X