Selasa, 22 Oktober 2019 | 1:43pm

Tekanan daripada India jejas harga sawit

BANGI: Tekanan oleh India yang berhasrat menghentikan pembelian minyak sawit dari Malaysia akan memberi kesan kepada tinjauan harga komoditi itu tahun ini.

Pengasas Bersama Palm Oil Analytics (POA), Dr Sathia Varqa, berkata tindakan itu akan menjadikan harga minyak sawit mentah Malaysia (MSM) menyusut bagi November dan Disember.

Sehubungan itu, beliau menetapkan sokongan harga MSM pada RM2,000 satu tan dengan harga rintangan pada RM2,200 satu tan.

“Perkara ini tidak dapat dipastikan secara rasmi tetapi POA menjangkakan harga MSM akan berada di bawah tekanan pada November dan Disember ini.

“Eksport dijangkakan akan rendah manakala pengeluaran dijangkakan meningkat. Pembeli India akan menahan pembelian dari Malaysia.

“Namun perkara ini disifatkan sebagai sementara dan dijangka akan berubah pada separuh pertama 2020,” katanya selepas Persidangan Tinjauan Bekalan dan Permintaan Sawit (POSDOC) pertama di sini, hari ini.

Beberapa laporan sebelum ini menyatakan India merancang menyekat minyak sawit Malaysia sebagai tindak balas terhadap kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Pertububan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bulan lalu bahawa India telah menceroboh serta menduduki Jammu dan Kashmir selain meminta New Delhi berbincang dengan Pakistan menyelesaikan isu itu.

Syarikat penapis minyak sawit India mula menghentikan pembelian minyak sawit dari Malaysia untuk penghantaran November dan Disember ini.

Mengulas lanjut, Sathia berkata, bagi separuh pertama 2020, harga MSM akan kembali meningkat kerana pengeluaran yang lebih rendah dari Indonesia.

“Pengeluaran Indonesia dijangka berhadapan dengan ketidaktentuan iklim yang bakal mengakibatkan gangguan bekalan.

“Selain itu,  peningkatan dalam pasaran biodiesel juga bakal melonjakkan harga minyak sawit kerana permintaan itu semakin meningkat.

“Permintaan global juga meningkat disebabkan beberapa perayaan utama yang berlangsung pada separuh pertama 2020. Lantaran itu, harga minyak sawit dijangka berada pada RM2200 hingga RM2,400 satu tan,” katanya.

Berita Harian X