Selasa, 22 Oktober 2019 | 1:35pm
SURUHANJAYA Sekuriti Malaysia

Platform ECF, P2P jana dana RM580 juta

KUALA LUMPUR: Pendanaan ekuiti ramai (ECF) dan pembiayaan antara rakan setara (P2P) di negara ini berkembang pantas apabila lebih RM580 juta sudah dijana menerusi platform berkenaan.

Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Datuk Syed Zaid Albar, berkata lebih 1,600 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (MSME) mendapat manfaat daripada platform pembiayaan berasaskan pasaran alternatif itu.

Beliau berkata, ketika ini 21 platform ECF dan P2P berdaftar dengan SC.

“Kami gembira platform ini terus memberi perkhidmatan kepada sebilangan MSME yang terbabit dalam pelbagai sektor termasuk teknologi tinggi, pendidikan, peruncitan, minuman dan makanan (F&B) dan produk pengguna.

“Ia juga menarik lebih ramai pelabur baharu terutama pelabur muda berusia 35 tahun ke bawah,” katanya pada Persidangan Tahunan Fintech SCxSC 2019, di sini, hari ini.

Syed Zaid berkata, kerajaan di bawah Belanjawan 2019 turut memperuntukkan RM50 juta kepada Malaysia Co-Investment Fund (MyCIF).

Ia, katanya bagi membantu membiayai syarikat peringkat permulaan dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dengan melabur bersama dalam jumlah berasaskan satu kepada empat dalam kempen niaga yang disenaraikan di platform ECF dan P2P.

Beliau berkata, sebanyak RM10 juta lagi diperuntukkan kepada MyCIF di bawah Belanjawan 2020 khusus untuk perusahaan sosial untuk mengumpul dana menerusi platform pembiayaan P2P.

“Kami menjangkakan suntikan dana ini akan meningkatkan lagi pertumbuhan industri ECF dan pembiayaan P2P, yang seterusnya akan memangkin pertumbuhan MSME di Malaysia dengan menyediakan akses kepada sumber pembiayaan alternatif,” katanya.

Persidangan Fintech SCxSC 2019 menarik lebih 800 peserta dan ia dimeriahkan lagi dengan kehadiran pakar Fintech global seperti Pengasas Bersama Betterment, Eli Broverman dan Pengasas Bersama Acorns, Jeffrey Cruttenden untuk berkongsi pengalaman.

Topik lain yang dibincangkan dalam persidangan dua hari itu termasuk keusahawanan Fintech, pengesahan identiti digital, aset digital, Fintech Islam dan kecerdasan buatan dalam keselamatan siber.

Persidangan Fintech SCxSC 2019 disokong oleh Rakuten Trade, Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) dan Permodalan Nasional Bhd (PNB).

Berita Harian X