Selasa, 22 Oktober 2019 | 12:59pm
TIMBALAN Menteri Luar China, Le Yucheng berucap pada Forum Xiangshan di Beijing. - Foto Reuters

China, AS capai kemajuan dalam rundingan perdagangan

BEIJING: China dan Amerika Syarikat (AS) mencapai sedikit kemajuan dalam rundingan perdagangan, kata Timbalan Menteri Luar China, Le Yucheng.

Beliau berkata, semua masalah boleh diselesaikan selagi kedua-dua pihak menghormati antara satu sama lain.

Tiada negara yang boleh mencapai kemakmuran tanpa bekerjasama dengan negara lain, kata Le pada Forum Xiangshan di sini, yang diadakan sebagai jawapan kepada forum keselamatan tahunan Dialog Shangri-La yang diadakan di Singapura.

Dunia mahu China dan AS mengakhiri perang perdagangan, katanya.

Ia memerlukan keterbukaan, berbanding pemisahan antara negara atau Perang Dingin baharu.

China sebelum ini bimbang bahawa AS mahu memutuskan, atau sekurang-kurangnya menyekat, hubungan ekonomi yang dipanggil sebagai pemisahan.

Beijing bimbang bahawa pentadbiran Presiden Donald Trump mahukan pemisahan sepenuhnya dengan China.

Kedua-dua negara sedang berusaha untuk menyelesaikan pertikaian perdagangan, dengan AS mengumumkan rundingan ‘fasa pertama’ dengan China berhubung beberapa perkara perdagangan dan menggantung pelaksanaan kenaikan tarif berjadual bagi Oktober.

“Selagi kita menghormati satu sama lain dan mahu kerjasama seimbang, tiada pertikaian yang tidak boleh diselesaikan antara China dan AS.

“Apa yang China mahu adalah memberikan taraf kehidupan lebih baik kepada rakyat. Kami tidak mahu merampas apa-apa daripada sesiapa pun. Tiada sebab China mahu mengganti atau mengancam mana-mana pihak,” katanya.

China dan AS sudah mencapai banyak perkara menerusi kerjasama sejak beberapa tahun lalu, kata Le.

“Mengapa kita mahu menghentikan pencapaian kerjasama sedemikian?”

-Reuters

Berita Harian X