Isnin, 21 Oktober 2019 | 8:08pm

Pelaksanaan eleman kualiti termasuk waktu menunggu di kaunter imigresen ikut jadual

PUTRAJAYA: Sebanyak 20 elemen kualiti perkhidmatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan klia2 telah dilaksanakan manakala pelaksanaan lapan lagi elemen termasuk berkaitan waktu menunggu di kaunter Imigresen adalah mengikut jadual, kata Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM).

MAVCOM dalam kenyataan hari ini berkata, ia telah melaksanakan 20 elemen kualiti perkhidmatan di KLIA dan klia2 yang merupakan sebagai sebahagian daripada Rangka Kerja Quality of Service (QoS) Lapangan Terbang.

Pembangunan Rangka Kerja QoS Lapangan Terbang bagi pelaksanaan lapan elemen kualiti perkhidmatan yang lain termasuk yang berkaitan dengan waktu menunggu di kaunter imigresen, kaunter daftar masuk, kastam serta kerbside adalah mengikut jadual, katanya.

"Suruhanjaya akan memantau prestasi waktu menunggu di kesemua lokasi ini seperti yang tertera di dalam Rangka Kerja QoS Lapangan Terbang untuk memastikan perkhidmatan yang lebih baik diberikan oleh kesemua pihak yang terlibat," katanya.

MAVCOM berkata Rangka Kerja QoS Lapangan Terbang direka untuk meningkatkan tahap perkhidmatan di lapangan terbang di Malaysia dan ia hasil perundingan dengan pelbagai pihak berkepentingan.

"Suruhanjaya komited dalam menyediakan penyelesaian serta pembangunan jangka panjang bagi industri penerbangan Malaysia,” katanya.

MAVCOM dalam maklum balasnya pula mengenai kenyataan pegawai kanan AirAsia berhubung waktu menunggu lama di kaunter imigresen klia2 berkata, ia telah meminta rekod harian daripada AirAsia untuk menjadi penambahan penting kepada maklumat dan data yang telah diperoleh MAVCOM sebelum bertemu dengan Jabatan Imigresen.

Menurut MAVCOM, pihaknya telah menerima surat daripada AirAsia pada 20 Ogos lepas mengenai isu itu yang AirAsia menekankan bahawa mereka mereka telah merekod kadar kesesakan di kaunter imigresen klia2 setiap hari.

"Ketersediaan maklumat ini dapat membantu dalam perbincangan mesyuarat (bersama Imigresen) terbabit. Walaupun suruhanjaya telah menghantar beberapa peringatan kepada AirAsia untuk rekod ini, namun begitu, tiada maklum balas yang diberikan," kata MAVCOM.

Bagaimanapun, MAVCOM berkata, ia meneruskan juga rancangan bertemu Ketua Pengarah Imigresen dan Pengarah Imigresen KLIA bagi membicangkan isu waktu menunggu lama di kaunter imigresen. - BERNAMA

Berita Harian X