Isnin, 21 Oktober 2019 | 4:37pm
TIMBALAN Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli mendengar penerangan daripada Pengarah Urusan Malvus Sense, Syed Omar Syed Mohamad ketika melawat kawasan pameran di Persidangan Dron Global 2019. NSTP/Eizairi Shamsudin

Manfaat peluang bidang teknologi baharu

KUALA LUMPUR: Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) perlu mengambil peluang terbabit dalam bidang teknologi baharu yang memberikan pulangan tinggi seperti industri dron, kata Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli.

Beliau berkata, kerajaan sentiasa komited membina ekosistem keusahawanan inklusif yang memastikan golongan terpinggir diberi peluang menerusi Dasar Keusahawanan Kebangsaan 2030.

Dasar ini, katanya, adalah sejajar dengan keutamaan kerajaan dalam mewujudkan pekerjaan berkemahiran tinggi dalam ekonomi digital.

“Sudah tiba masanya kita melihat lebih banyak usahawan tempatan menceburi perniagaan bukan tradisional seperti sektor dron komersial. Ini juga akan mewujudkan peluang di negara ASEAN lain yang juga melihat permintaan dalam penggunaan teknologi dron.

“Bagi Malaysia untuk bergerak ke arah Revolusi Industri 4.0 dengan berkesan, ia memerlukan penumpuan internet pelbagai benda industri (IIoT) serta data besar ke dalam teknologi dron.

“Ini bermakna, kami akan melihat dron memainkan peranan yang semakin penting dalam kehidupan dan aktiviti perniagaan,” katanya selepas merasmikan Persidangan Dron Global 2019 di sini, hari ini.

Mohd Hatta berkata, modal untuk memulakan perniagaan berasaskan dron tidak terlalu tinggi berbanding dengan perniagaan berasaskan teknologi yang lain.

Ketika ini, katanya, hanya terdapat 15 syarikat dron tempatan dan jumlah itu masih lagi kecil berbanding negara serantau yang lain.

“Kerajaan sentiasa menyokong melalui peruntukan dalam Belanjawan 2020 baru-baru ini untuk usahawan Bumiputera sebanyak RM455 juta.

“Teknologi itu sentiasa bergerak dan usahawan perlu pantas mengambil peluang. Kita mahu melahirkan syarikat pengeluar dron seberapa banyak yang mungkin.

“Disokong oleh dasar IR4.0 yang bertujuan meningkatkan produktiviti dalam sektor pembuatan dengan sasaran peningkatan sektor itu kepada ekonomi sebanyak 54 peratus daripada RM254 bilion kepada RM392 bilion,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Hatta berkata, Malaysia sentiasa bersedia kerana mempunyai 40 tahun pengalaman dalam sektor pembuatan.

Malaysia, katanya perlu memanfaatkan rantaian bekalan yang sedia ada serta akses kepada pasaran global dengan meningkatkan kemampuan.

Perang perdagangan juga, katanya mewujudkan peluang unik bagi Malaysia untuk menjadi destinasi pilihan pelaburan langsung asing (FDI) bernilai tinggi.

Berita Harian X