Isnin, 21 Oktober 2019 | 3:43pm

Tiada jaminan Malaysia kekal dalam WGBI

KUALA LUMPUR: Walaupun risikonya rendah, pasaran bon Malaysia tidak boleh menolak kemungkinan ia dikeluarkan daripada Indeks Bon Kerajaan Dunia (WGBI), kata Ketua Penyelidik RAM Ratings, Kristina Fong.

Beliau berkata, Malaysia kekal dalam senarai pemantauan untuk potensi dikeluarkan walaupun risikonya rendah ketika ini berikutan inisiatif Bank Negara Malaysia (BNM) selain pelbagai tindakan yang dilakukan bagi menangani kebimbangan pelabur.

“Walaupun keputusan terbaharu kajian FTSE Russell pada 26 September memihak kepada Malaysia, ketidaktentuan berkaitan dengannya dan potensi kemasukan bon China dalam WGBI, mendorong pelabur asing untuk tidak memasuki pasaran bulan ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada September, terbitan bon korporat Malaysia meningkat kepada RM14.9 bilion, didorong oleh penerbitan kukuh sektor kuasi-kerajaan dan swasta.

Ini menjadikan terbitan korporat secara keseluruhan kepada RM27.7 bilion pada suku ketiga 2019.

Kadar penerbitan korporat yang kukuh telah menjadi teras utama sepanjang 2019, kemungkinan disebabkan oleh kos pembiayaan yang menarik memandangkan pulangan hingga matang telah merosot sejak awal tahun ini.

“Walaupun terbitan bon kerajaan agak lembap pada September (RM5.5 bilion), terbitan Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) dan Terbitan Pelaburan Kerajaan (GII) setahun penuh masih berada pada kedudukan untuk mencapai unjuran sebanyak RM110 bilion-RM120 bilion untuk 2019 .

“Kami menjangkakan pengeluaran MGS/GII akan meningkat kepada RM115 bilion hingga RM125 bilion pada 2020, ekoran keperluan pembiayaan defisit kerajaan dalam Belanjawan 2020 yang dibentangkan pada 11 Oktober lalu, selain pembiayaan semula hutang matang tahun depan,” katanya.

-BERNAMA

Berita Harian X