Isnin, 21 Oktober 2019 | 2:51pm

Pereka kereta terbang sasar kontrak lebih RM1 bilion

KUALA LUMPUR: Pemaju sistem pengangkutan udara tempatan, Aerodyne Group menjangka untuk memperoleh kontrak mencecah lebih RM1 bilion menerusi pelbagai projek berkaitan dron dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Aerodyne adalah syarikat yang terbabit dalam rekaan kereta terbang yang sudah pun menjalani ujian pemanduan di Jepun dan akan dibawa pulang ke negara ini dalam tempoh terdekat.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasasnya, Kamarul A Muhamed, berkata menerusi bidaan itu, syarikat akan terus

membolehkan Aerodyne memperolehkan kedudukan lebih kukuh dalam pasaran penyedia perkhidmatan dron dipacu teknologi kecerdasan buatan (AI).

“Bidaan kontrak itu untuk beberapa tahun akan datang dalam penyediaan perkhidmatan dron. Ia tertumpu kepada pasaran global dan tempatan.

“Aerodyne juga akan terus meninjau lebih banyak bidaan kontrak akan dijalankan seiring dengan kehendak pasaran global. Kami menyasarkan pendapatan kumpulan bagi projek global akan meningkat dalam tiga tahun akan datang, berbanding 30 peratus ketika ini.

“Ini kerana, peluang dalam penyediaan perkhidmatan dron besar dan banyak negara memerlukan perkhidmatan ini,” katanya ketika ditemui selepas Persidangan Dron Global 2019 di sini, hari ini.

Aerodyne yang bermula dengan hanya tiga pekerja pada 2014 kini mempunyai operasi di lebih 25 negara seperti Amerika, Australia, India, Chile, Denmark, United Kingdom dan Russia.

Mengulas lanjut, Kamarul berkata, industri dron global dijangka bernilai lebih AS$25 bilion pada 2027 berbanding hanya AS$1 bilion pada 2019.

Beliau berkata, Asia Pasifik adalah pasaran yang merekodkan pertumbuhan memberangsangkan dengan penguasaan pasaran sebanyak 25 peratus.

Katanya, pasaran Asia Pasifik mampu memberikan peluang yang besar kepada industri dron dan sebagai syarikat dron ketiga dunia, pihaknya optimis lebih banyak peluang dapat diperoleh.

“Lantaran itu, kami juga aktif melaksanakan sekurang-kurangnya lima pengambilalihan pada tahun ini. Ia bagi mengukuhkan kedudukan kami.

“Selain itu, syarikat turut menyasarkan tawaran awam permulaan (IPO) sama ada di Malaysia atau luar negara dalam tempoh tiga tahun.

“Kami masih lagi dalam peringkat kajian serta meninjau pasaran yang berpotensi untuk penyenaraian syarikat,” katanya.

Ketika ditanya mengenai prototaip mobiliti udara bandar (UAM) atau lebih dikenali sebagai ‘kereta terbang’, Kamarul berkata ia sedang dalam proses namun enggan mendedahkan secara terperinci mengenai status terkini projek itu.

“Kami akan berikan maklumat terkini dalam masa terdekat. Buat masa ini, kami masih dalam proses. Ia adalah inovasi teknologi mobiliti baru yang bakal terlaksana,” katanya.

Pada 16 Oktober lalu, Aerodyne mengumumkan satu pusingan pelaburan Siri B bernilai AS$30 juta (RM125.62 juta).

Berita Harian X