Isnin, 21 Oktober 2019 | 2:08pm
CHRISTINE Lagarde
CHRISTINE Lagarde

Christine Lagarde berdepan tugas berat ketuai ECB

FRANKFURT am MAIN: Mario Draghi menyerahkan tugas memimpin Bank Pusat Eropah (ECB) kepada Christine Lagarde pada 31 Oktober ini, dengan ekonomi eurozone yang bergelut untuk kembali berada dalam landasan.

Semasa beliau mula memegang jawatan itu pada 2011, Draghi berdepan dengan eurozone terjerumus ke dalam kemelesetan.

Negara-negara yang mempunyai sumber fiskal menghadapi masalah runcing daripada krisis kewangan, seperti Itali dan Greece, bergelut untuk mendapatkan pembeli hutang masing-masing.

Cabaran sedemikian memberikan risiko kepada mata wang tunggal, yang pada masa itu baru berusia kira-kira sedekad.

Satu campur tangan luar jangkaan dilihat menjadi titik perubahan.

“Dalam mandat kami, ECB bersedia untuk melakukan apa saja untuk mengekalkan euro. Percayalah, ia akan mencukupi,” kata Draghi pada satu sidang akhbar di London pada Julai 2012.

ECB menunaikan janjinya dengan satu skim yang membolehkan bank pusat itu membeli hutang kerajaan tanpa had sebagai pertukaran kepada program pembaharuan sukar.

Tidak pernah diamalkan sebelum itu, alat yang dikenali sebagai transaksi monetari langsung (OMT) berjaya membantu menenangkan pasaran kewangan.

Namun, ia turut mengundang kemarahan pihak yang skeptik terhadap euro, yang gagal dalam tuntutan undang-undangnya terhadap instrumen berkenaan.

Menjelang 2014, ECB berdepan risiko baharu, iaitu deflasi, yang menurunkan harga dan aktiviti ekonomi.

Beberapa tahun selepas bank pusat lain melaksanakannya, Draghi membawa ECB kepada ‘pelonggaran dasar’, iaitu pembelian besar-besaran hutang kerajaan dan korporat, pada awal 2015.

Ketika program itu dijadual berakhir Disember tahun lalu, ECB sudah membeli 2.6 trilion euro (RM12.1 trilion) bon, yang berjaya memperbaiki peluang pekerjaan dan kadar pertumbuhan.

Bagaimanapun, di sebalik rangsangan selama beberapa tahun, inflasi kekal berada di bawah sasaran bank pusat itu di bawah dua peratus.

Di bawah Draghi, ECB terbabit secara langsung untuk mengekalkan Greece di dalam pakatan mata wang tunggal itu dan mengelakkan kewangannya runtuh.

Bantuan kecairan kecemasan (ELA) membolehkan bank negara itu mengekalkan kelangsungan sewaktu tempoh paling sukar.

Bank pusat itu juga memainkan peranan penting dalam merundingkan pinjaman kepada Greece yang membantu menstabilkan ekonominya, sebagai pertukaran kepada program pembaharuan yang amat sukar.

-AFP

Berita Harian X