Khamis, 17 Oktober 2019 | 7:45am

Lebih banyak kawalan, kurang tempoh menunggu keutamaan penumpang - IATA

KUALA LUMPUR: Penumpang mahu lebih banyak kawalan peribadi ke atas perjalanan mereka melalui telefon pintar dan mahu proses di lapangan terbang lebih cepat, demikian menurut kaji selidik dijalankan Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) hari ini.

Kaji Selidik Penumpang Global 2019 yang berdasarkan 10,877 maklum balas daripada penumpang di 166 negara menjadi suara penumpang, menawarkan matlamat dan pandangan berkaitan keutamaan dan tata laku pelancong udara di seluruh dunia, membantu menyediakan inisiatif industri.

Dalam kenyataannya, IATA berkata aplikasi syarikat penerbangan menjadi kaedah pilihan tempahan penumpang daripada antara pasaran penerbangan terbesar dunia, dengan 24 peratus pelancong dari Asia Utara memilih kaedah itu.

“Ia juga adalah pilihan kedua paling popular dalam kalangan penumpang di Timur Tengah, menjadi pilihan sebanyak 14 peratus pelancong. Tempahan melalui laman web syarikat penerbangan, walaupun kurang popular berbanding pada 2018, kekal menjadi kaedah pilihan kebanyakan pelancong di seluruh dunia (39 peratus),” katanya.

Kaji selidik itu turut mendapati sebanyak 70 peratus daripada penumpang bersedia untuk berkongsi maklumat peribadi tambahan, termasuk pengenalan biometrik untuk mempercepatkan proses di lapangan terbang.

Lebih separuh daripada penumpang (53 peratus) menyatakan lebih cenderung untuk memeriksa beg jika mereka dapat mengesannya sepanjang perjalanan, dan 46 peratus menyatakan mereka mahu mengesan beg mereka dan menghantarnya terus ke lokasi luar lapangan terbang jika perkhidmatan itu disediakan.

“Penumpang mahu Wifi dalam pesawat. Sebanyak 53 peratus daripada penumpang dalam kaji selidik itu mendapati Wi-fi adalah penting. Kepentingannya tertinggi di Afrika (71 peratus), Amerika Latin (68 peratus) dan Timur Tengah (67 peratus) dan terendah di Eropah (44 peratus) dan Amerika Utara (49 peratus),” menurut kaji selidik itu.

Dengan adanya jaringan Wifi yang terus memberi impak secara langsung kepada pengalaman perjalanan secara keseluruhan, menggunakan teknologi Wifi terkini dalam pesawat terus menjadi cara yang berkesan untuk syarikat penerbangan membezakan penawaran produk mereka, menurut IATA, yang mewakili sebanyak 290 syarikat penerbangan terdiri daripada 82 peratus daripada trafik udara global.

Bagi meningkatkan pengalaman penumpang, tiga cadangan utama daripada penumpang ialah sistem beratur yang lebih cekap di balai berlepas (60 peratus), tidak perlu mendapatkan bas untuk ke pesawat (51 peratus), dan lebih banyak ruang untuk bagasi kabin (46 peratus), katanya. - BERNAMA

Berita Harian X