Rabu, 16 Oktober 2019 | 6:04pm
SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC)
SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC)

Kerajaan komited persiap Malaysia ke arah transformasi digital

CYBERJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) melihat Belanjawan 2020 yang dibentangkan Jumaat lalu mencerminkan komitmen kerajaan untuk meningkatkan kesalinghubungan di seluruh negara dalam mempersiapkan Malaysia ke arah transformasi digital.

Pengerusi MCMC, Al-Ishsal Ishak,berkata suruhanjaya itu juga menyambut baik komitmen kerajaan untuk memacu pertumbuhan ekonomi menerusi transformasi digital.

“MCMC juga menyedari akan kepentingan untuk memacu pertumbuhan yang mapan dan saksama. Keseimbangan adalah penting kerana kesalinghubungan digital mampu untuk menggalakkan pertumbuhan di seluruh negara dan menyediakan tenaga kerja dengan kemahiran yang tepat untuk masa hadapan,” katanya.

Al-Ishsal berkata, sebagai sebuah badan kawal selia industri komunikasi dan multimedia, MCMC akan terus menerajui pembangunan infrastruktur digital negara melalui Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) bagi memastikan sektor perniagaan dan rakyat akan meraih manfaat daripada ekonomi digital ketika negara melangkah ke era 5G dan Revolusi Industri 4.0 (Industri 4.0).

Usaha itu juga, katanya, adalah sejajar dengan visi Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menjadikan Malaysia sebagai hab Industri 4.0 di rantau Asia Tenggara demi mengembalikan status Malaysia sebagai Harimau Asia.

MCMC juga mengalu-alukan pelbagai insentif yang diberikan dengan harapan ia dapat memacu pembangunan ekosistem dan aplikasi 5G yang memperkasakan visi kerajaan untuk mewujudkan penggunaan aplikasi 5G berdaya maju yang akan mentransformasikan pelbagai industri dan memberi impak positif kepada taraf hidup rakyat di negara ini.

“Perkembangan itu adalah selari dengan matlamat MCMC untuk mengkomersialkan beberapa kes kegunaan 5G bermula suku ketiga 2020,” katanya.

-BERNAMA

Berita Harian X