Rabu, 16 Oktober 2019 | 3:13pm
PRESIDEN Negara Chubb Malaysia, Steve Crouch dan Pengurus Penaja Jaminan Siber Chubb Asia Pasifik, Andrew Taylor. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria

Majoriti PKS di Malaysia jadi mangsa insiden siber

KUALA LUMPUR: Sebanyak 84 peratus daripada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dilaporkan menjadi mangsa insiden siber pada tahun lalu, demikian menurut Laporan Kesediaan Siber PKS - Kelalaian adalah Risiko oleh Chubb.

Laporan yang membabitkan 400 responden PKS tempatan itu juga mendapati 67 peratus daripada responden mempunyai pandangan bahawa bahawa syarikat besar lebih terdedah kepada risiko berbanding PKS.

Pengurus Penaja Jaminan Siber Chubb Asia Pasifik, Andrew Taylor berkata pandangan berkenaan adalah tidak tepat dan ia boleh mengundang kebimbangan.

“Sifat mudah berpuas hati boleh membuka ruang yang luas kepada serangan berniat jahat, pelanggaran dan maklum balas insiden yang tidak mencukupi.

“Malah, sebenarnya syarikat yang lebih kecil berhadapan dengan darjah pendedahan kepada risiko siber yang lebih besar berikutan sumber dan saiznya yang terhad serta kekurangan modal untuk melabur dalam alatan pengurusan risiko siber,” katanya pada sesi penerangan hasil laporan berkenaan di sini, hari ini.

Chubb adalah syarikat urus niaga hartanah dan insurans kecederaan yang terbesar dunia dengan operasi di lebih 54 negara.

Operasi Chubb di negara ini menyediakan rangkaian komprehensif penyelesaian insurans am bagi individu, keluarga dan perniagaan sama ada besar atau kecil menerusi pelbagai saluran pengedaran.

Sementara itu, Presiden Negara Chubb Malaysia, Steve Crouch berkata jumlah perniagaan kecil yang menjadi mangsa insiden siber adalah tinggi dan ia menjadi satu keadaan yang membimbangkan.

“Antara faktor yang menyebabkan insiden siber berlaku kepada PKS adalah kekurangan pemahaman dan kesediaan mengenai risiko yang boleh berlaku.

“Tambah membimbangkan, ramai pemilik PKS percaya bahawa polisi insurans am mereka boleh melindungi risiko siber walaupun faktanya adalah kebanyakan polisi tidak melindunginya.

“Memandangkan PKS memberi sumbangan yang tinggi kepada ekonomi Malaysia, saya percaya isu ini adalah kritikal untuk diketengahkan,” katanya.

Berita Harian X