Ahad, 13 Oktober 2019 | 2:57pm
Pengurus Pembangunan Perniagaan Putra Business School (PBS), Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff. - NSTP/Zunnur Al Shafiq
Pengurus Pembangunan Perniagaan Putra Business School (PBS), Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff. - NSTP/Zunnur Al Shafiq

Belanjawan 2020 pastikan semua nikmati kemakmuran

KUALA LUMPUR: Inisiatif dan insentif yang diumumkan dalam Belanjawan 2020 adalah jelas objektifnya untuk menggalakkan pertumbuhan ekonomi negara dan produktiviti setiap sektor termasuk rakyat.

Kerajaan mengambil langkah belanjawan pengembangan dengan terus berbelanja untuk pembangunan walaupun berdepan ruang fiskal yang terhad.

Pengurus Pembangunan Perniagaan Putra Business School (PBS), Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff, berkata Belanjawan 2020 dianggap belanjawan yang baik dalam menjamin kemampanan pertumbuhan ekonomi negara dan memastikan semua pihak menikmati kemakmuran, meskipun berdepan persekitaran ekonomi yang mencabar.

Beliau berkata, inisiatif dan insentif yang diumumkan adalah untuk memastikan tiada siapa yang ketinggalan dalam menikmati limpahan ekonomi yang diharapkan oleh kerajaan.

Katanya, sasaran defisit 3.2 peratus dilihat mampu dicapai kerana sasaran sebelum ini adalah 3.0 peratus, sekali gus menunjukkan kerajaan komited untuk tidak menyekat perbelanjaan pembangunan walaupun berdepan dengan situasi tidak memperkenalkan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

“Jika dilaksanakan dengan baik, saya yakin Belanjawan 2020 mampu merancakkan ekonomi domestik dan menarik pelaburan asing.

“Namun faktor luaran tetap akan memainkan peranannya kerana kita masih lagi negara pengeluar dan bergantung kepada pertumbuhan ekonomi global,” katanya kepada BH.

Ahmed Razman berkata, walaupun usaha merancakkan ekonomi dalam Belanjawan 2020 diharap dapat mengoptimumkan impak ke atas pertumbuhan ekonomi dan menjana peluang perniagaan, ketidaktentuan pasaran global serta harga komoditi bakal memberi kesan terhadap rangsangan ekonomi yang cuba dilakukan oleh kerajaan.

Beliau berkata, sudah tentu jika harga minyak global menurun dengan drastik, rancangan kerajaan akan terencat.

Sementara itu, Ketua Penganalisis Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata secara keseluruhannya, Belanjawan 2020 menepati apa yang dijangkakan, terutama apabila sasaran defisit fiskal yang dinaikkan kepada 3.2 peratus dari pada sasaran asal iaitu 3.0 peratus yang diumumkan sebelum ini.

Beliau berkata, ia memberi isyarat bahawa kerajaan akan lebih aktif dalam menjana pertumbuhan ekonomi tahun depan.

Selain itu, katanya, banyak insentif juga diberikan bagi menyokong industri perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Di samping itu, kerajaan juga dilihat terus menerus memberi bantuan subsidi, yang mana, Bantuan Sara Hidup (BSH) terus dikekalkan.

“Selain itu juga, cukai bagi golongan berpendapatan tinggi juga dinaikkan kepada 30 peratus bagi mereka yang mempunyai pendapatan melebihi RM2 juta setahun, jelas menunjukkan usaha kerajaan bagi merapatkan jurang pendapatan antara yang miskin dan kaya,” katanya.

Penasihat Persatuan Penganalisa Teknikal Malaysia (MATA), Nazarry Rosli, berkata secara keseluruhannya belanjawan kali ini memberi penekanan kepada sosio ekonomi rakyat golongan bawahan dalam menangani bebanan kos sara hidup yang agak mencabar.

Berita Harian X