Khamis, 10 Oktober 2019 | 10:22am

Harga minyak dunia turun

SEOUL: Harga minyak turun hari ini memandangkan harapan rundingan perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China akan mencapai kejayaan pudar, dan ini tidak membantu memulihkan ekonomi global, selain kesuraman terhadap prospek permintaan minyak yang lemah.

Kontrak utama minyak mentah Brent turun 26 sen atau 0.5 peratus kepada AS$58.05 satu tong pada 0133 GMT, sementara minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) berada pada AS$52.38 satu tong, turun 21 sen, atau 0.4 peratus.

Pegawai kerajaan China memberitahu Reuters bahawa China mengurangkan jangkaannya bagi kemajuan dalam rundingan untuk menamatkan pertikaian perdagangan yang berlarutan selama 15 bulan itu, yang merencatkan pertumbuhan ekonomi global, berikutan kecewa dengan tindakan AS menyenarai hitam syarikat China.

Presiden Donald Trump meluahkan keyakinan mengatakan terdapat peluang yang sangat baik bagi kedua belah pihak untuk mencapai perjanjian perdagangan.

Tetapi dengan rundingan perdagangan peringkat tinggi dijadualkan bermula lewat Khamis, South China Morning Post melaporkan kedua-dua pihak itu tidak membuat kemajuan dalam rundingan awal di peringkat rendah.

"Harga minyak pada dasarnya ditarik turun oleh satu lagi perang perdagangan," kata Stephen Innes, ahli strategi pasaran Asia Pasifik di AxiTrader.

Menambah kebimbangan, stok minyak mentah AS menokok 2.9 juta tong dalam minggu berakhir 4 Oktober, kata Pentadbiran Maklumat Tenaga (EIA), lebih sekali ganda daripada jangkaan penganalisis.

Sementara itu, Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) membenarkan sasaran pengeluaran minyak yang lebih tinggi kepada Nigeria di bawah perjanjian pemotongan bekalan yang diketuai OPEC.

Ia meningkatkan kuota pengeluaran Nigeria kepada 1.774 juta tong sehari daripada 1.685 juta tong sehari, demikian menurut tiga perwakilan OPEC berpengetahuan dalam perkara itu. - Reuters

Berita Harian X