Khamis, 10 Oktober 2019 | 10:00am

Ringgit mendatar

KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka hampir mendatar berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini berikutan kekurangan minat belian baharu, kata peniaga.

Pada 9.10 pagi, nota tempatan berada pada 4.1950/1990 berbanding dolar AS daripada 4.1955/1985 penutup semalam.

Pakar strategi pasaran di Axi Trader Asia-Pasifik, Stephen Innes, berkata pasaran kembali memantau yuan ketika mana peniaga tempatan mengurangkan jangkaan menjelang rundingan perdagangan AS-China yang disambung semula minggu ini.

"Bagaimanapun, tahap psikologi penting 4.20 bagi ringgit kembali menjadi tumpuan sekiranya yuan terus tidak menentu," katanya.

Pada pembukaan, ringgit diniagakan lebih tinggi berbanding mata wang utama lain.

Ia mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.0366/0397 daripada 3.0404/0437 Rabu dan mengukuh berbanding yen Jepun kepada 3.9078/9126 daripada 3.9082/9114.

Berbanding euro, unit tempatan mengukuh kepada 4.6061/6109 daripada 4.6067/6116 manakala berbanding pound British, ia menokok kepada 5.1221/1274 daripada 5.1311/1364. - BERNAMA

Berita Harian X