Rabu, 9 Oktober 2019 | 8:09pm
Gambar fail, Ketua Perniagaan Shopee Malaysia, Zed Li, semasa Kempen Beli Malaysia Online di Kuala Lumpur, 3 Oktober lalu. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Festival Jenama 10.10 Shopee serentak dengan kempen Beli Barangan Malaysia

KUALA LUMPUR: Platform e-dagang, Shopee, mengambil langkah menetapkan tempoh Festival Jenama 10.10 serentak dengan kempen Beli Barangan Malaysia dalam usaha melonjakkan perdagangan dalam negeri.

Kempen Beli Barangan Malaysia yang dilancarkan baru-baru ini adalah usaha diterajui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna untuk menggalakkan pembelian produk buatan Malaysia di samping membantu usahawan tempatan mengembangkan perniagaan mereka.

Dalam kenyataan hari ini, Pengarah Urusan Serantau Shopee, Ian Ho, berkata pihaknya memutuskan supaya Festival Jenama 10.10 Shopee diadakan serentak dengan kempen Beli Barangan Malaysia.

Beliau berkata, ini memandangkan ia juga tempoh bagi jualan akhir tahunnya bermula dengan pelbagai potongan, tawaran dan promosi yang benar-benar menarik sekali gus akan membantu rakyat Malaysia berjimat.

“Seiring dengan acara beli-belah mega yang akan datang ini seperti kempen 11.11 dan 12.12 di peringkat global, penjual barangan buatan Malaysia akan meraih manfaat daripada peningkatan trafik dan aktiviti membeli-belah sepanjang tempoh terbabit,” katanya.

Shopee juga berkata mulai hari ini hingga 10 Oktober, acara beli-belah itu akan menyediakan kaedah komprehensif untuk perniagaan meningkatkan keterlibatan dengan pengguna selain hubungan erat dengan pelanggan menerusi ciri-ciri gamifikasi, seperti ‘Mission: Shopee’, ‘Voucher Together-Gether’, ‘Shopee Catch’ dan ‘Shopee Quiz’ serta iklan jenama dalam aplikasi.

Shopee turut menawarkan penghantaran percuma untuk rakyat Malaysia dengan pembelian minimum RM10.

Sejak awal tahun ini, Shopee meningkatkan usahanya selaras dengan inisiatif kerajaan bagi menjayakan pelbagai agenda nasional untuk manfaat seluruh rakyat Malaysia.

“Antara usaha utama ialah Hari Beli-Belah Super 9.9 yang baru sahaja berakhir untuk membantu mengurangkan kesan kenaikan kos sara hidup di Malaysia, dengan kempen itu menawarkan pelbagai pendekatan untuk rakyat Malaysia terus membeli-belah dan mengisi semula keperluan tanpa menjejaskan kewangan mereka,” katanya.

Platform beli-belah dalam talian itu berkata, ia juga bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan E-Dagang Sarawak untuk membawa beberapa usaha kepada penjual di negeri itu, termasuk bengkel percuma yang bertujuan membimbing mereka mengenai perniagaan e-dagang dan pengetahuan pemasaran.

Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menerusi Unit Pembangunan Usahawan di bawahnya juga bekerjasama dengan Shopee bagi Raya Bersama PKNS di kempen Shopee.

Ia menyaksikan 30 usahawan PKNS dan 700 produk berkaitan raya diketengahkan dalam halaman koleksi istimewa, khusus untuk mereka di Shopee. - BERNAMA

Berita Harian X