Rabu, 9 Oktober 2019 | 6:27pm

Maju perbaharui cadangan beli PLUS, tawar kurang tol 36 peratus

KUALA LUMPUR: Maju Holdings Sdn Bhd memperbaharui cadangannya untuk mengambil alih PLUS Malaysia Bhd dengan menawarkan pengurangan tol daripada 25 peratus kepada 36 peratus.

Ia juga mencadangkan akan menanggung pengurangan tol sepenuhnya dan tidak akan mendapatkan pampasan kewangan daripada kerajaan berkenaan perkara itu.

Malah, Maju Holdings juga mencadangkan untuk menyerap pampasan tol RM2.7 bilion jika syarikat itu berjaya mengambil alih pengendali konsesi lebuh raya terbesar di Malaysia itu.

“Ketika ini, kerajaan berhutang dengan PLUS kira-kira RM2.7 bilion membabitkan pampasan tol dan jika Maju Holdings mengambil alih PLUS, kami dengan sukacitanya memaklumkan bahawa kami tidak akan lagi memegang tanggungjawab kerajaan ke atas hutang ini.

“Oleh itu, kami mengulangi, kerajaan akan jimat RM2.7 bilion berdasarkan fakta bahawa Maju Holdings akan menyerap pampasan RM2.7 bilion,” katanya dalam satu kenyataan.

Jurucakap itu berkata, dengan tawaran terkini yang sudah dihantar kepada kerajaan itu, pemegang sedia ada PLUS akan mendapat manfaat anggaran jumlah kadar pulangan dalaman ekuiti kira-kira 16 peratus, yang mana ia mewakili pulangan yang mengatasi kos ekuiti untuk majoriti konsesi jalan bertol lain, baik di peringkat global mahupun di Asia Tenggara.

Beliau berkata, sebagai sebahagian daripada cadangan pihaknya dan seperti yang diulangi beberapa kali sebelum ini, Maju Holdings komited untuk melabur kira-kira RM5.3 bilion, yang mana akan merangkumi pencahayaan seluruh lebuh raya bersama-sama dengan peningkatan yang sangat diperlukan.

“Rekod prestasi operasi kami untuk menguruskan jalan bertol diperlihatkan dengan sendirinya. Kami berjaya mengendalikan Lebuh Raya MEX dengan cara yang sangat cekap kos berbanding jalan bertol PLUS yang sepatutnya mendapat keuntungan daripada skala ekonomi.

“Malah, kami mempunyai antara yang menawarkan kos terendah setiap kilometer di negara ini. Oleh itu, kami yakin kami akan dapat mengurangkan kos penyenggaraan untuk PLUS,” katanya.

Jurucakap Maju Holdings itu berkata, pihaknya ingin menegaskan kepada pembuat dasar dan rakyat Malaysia bahawa pihaknya yakin dengan tawarannya adalah satu yang menarik dan satu yang tidak akan membebankan, malah ia juga sebenarnya akan mengurangkan kedudukan hutang kerajaan.

Lebih-lebih lagi, katanya, Maju Holdings juga ingin mengulangi bahawa nilai enterpris untuk membeli PLUS adalah termasuk hutang terkumpul kepada pemegang bon pada paras RM34.9 bilion.

“Pertimbangan pembelian ini mencerminkan nilai sebenar dan saksama syarikat ini dan asetnya, dengan mengambil kira niat kami untuk menyediakan pengguna jalan raya Malaysia dengan diskaun ketara,” katanya.

Sebelum ini dilaporkan, firma pelaburan berpangkalan di Hong Kong milik rakyat Malaysia, RRJ Capital Ltd, menaikkan harga tawaran pengambilalihan PLUS kepada RM3.5 bilion berbanding RM3 bilion yang ditawarkan sebelum ini.

RRJ juga menawarkan pengurangan tol sehingga 30 peratus mengikut harga kereta.

Tawaran itu dikemukakan meskipun terdapat laporan bahawa Khazanah Nasional Bhd menegaskan tidak berminat untuk menjual syarikat pengendali lebuh raya terbesar di Malaysia itu yang juga aset strategiknya kepada mana-mana pihak.

Berita Harian X