Rabu, 9 Oktober 2019 | 2:17pm
Presiden Persatuan Industri Aeroangkasa Malaysia (MAIA), Naguib Mohd Nor. - NSTP/Hafiz Sohaimi

MAIA harap dana Belanjawan 2020 bagi naik taraf infrastruktur

KUALA LUMPUR: Industri aeroangkasa dan penerbangan berharap kerajaan akan memperuntukkan dana dalam Belanjawan 2020 untuk meningkatkan infrastruktur industri itu, sekali gus memacu pertumbuhannya di masa depan.

Presiden Persatuan Industri Aeroangkasa Malaysia (MAIA) Naguib Mohd Nor, juga berharap industri itu akan menjadi bidang tumpuan pertumbuhan dalam belanjawan, dengan geran untuk pelbagai aktiviti seperti latihan, penyelidikan dan pembangunan serta perbelanjaan modal.

“Ya, kerajaan ada memperuntukkan dana dalam belanjawan sebelum ini, tetapi industri perlu lebih banyak lagi untuk pengembangan selanjutnya,” katanya kepada BERNAMA.

Malaysia kini menempatkan lebih 200 syarikat aeroangkasa di Malaysia ketika ini yang terdiri daripada penggiat industri antarabangsa dan tempatan.

Ini termasuk 66 syarikat yang terbabit dalam aktiviti penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO), 33 dalam pembuatan aero, 25 terbabit dalam pendidikan dan latihan, 11 dalam integrasi sistem, serta kejuruteraan dan reka bentuk.

Bagi mengiktiraf kepentingan industri aeroangkasa, Pelan Induk Aeroangkasa Malaysia 2030 dilancarkan pada Pameran Maritim dan Udara Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2015 di Langkawi, Kedah.

Pelan induk itu bermatlamat menjadikan Malaysia negara aeroangkasa terkemuka di Asia Tenggara dan menjadi bahagian penting dalam pasaran global pada 2030.

Ia turut menggariskan pelan jangka panjang bagi pembangunan industri aeroangkasa di Malaysia sehingga 2030.

Menerusi pelan induk itu, banyak penggiat industri berharap untuk meraih peluang perniagaan yang begitu banyak ditawarkannya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MAB Kargo Sdn Bhd (MASkargo), Ibrahim Mohamed Salleh, menzahirkan harapan kerajaan akan meningkatkan pembangunan logistik industri itu melalui peruntukan dalam belanjawan.

Katanya, infrastruktur logistik lebih baik amat penting bagi Malaysia, kerana ia akan memberikan kesan limpahan lebih besar kepada industri lain seperti pembuatan, pelancongan dan perdagangan.

Belanjawan 2020 akan dibentangkan Menteri Kewangan Lim Guan Eng di Parlimen Jumaat ini. - BERNAMA

Berita Harian X