Ahad, 6 Oktober 2019 | 4:44pm
Bijan Zanganeh
Bijan Zanganeh

Iran cari jalan eksport minyak

DUBAI: Iran akan menggunakan semua cara untuk mengeksport minyaknya, laman web Kementerian Minyak Iran, SHANA, memetik Menterinya, Bijan Zanganeh sebagai berkata.

Ia menambah bahawa mengeksport minyak mentah adalah hak mutlak negara itu.

“Kami akan menggunakan semua cara yang mungkin untuk mengeksport minyak dan tidak akan tunduk kepada tekanan Amerika Syarikat (AS) kerana mengeksport minyak adalah hak mutlak Iran,” kata Zanganeh.

Eksport minyak mentah Iran dipotong lebih 80 peratus apabila AS mengenakan semula sekatan selepas Presiden Donald Trump membatalkan perjanjian nuklear Iran yang dipersetujui pada 2015 itu tahun lalu.

Sejak itu, Washington mengenakan semula sekatan ke atas eksport minyak Tehran.

Sebagai tindak balas, Iran secara perlahan-perlahan mengurangkan komitmennya terhadap perjanjian nuklear 2015 itu, yang mana Tehran bersetuju untuk mengehadkan aktiviti nuklearnya dengan syarat sekatan antarabangsa ke atas negara itu dibatalkan.

Pertubuhan Tenaga Atom Iran (AEOI) semalam sekali lagi menegaskan bahawa negara itu akan terus mengurangkan komitmennya terhadap perjanjian itu jika pakatan Eropah tidak menunaikan janji untuk melindungi ekonomi Iran daripada sekatan AS.

“Kami akan meneruskan rancangan untuk mengurangkan komitmen terhadap perjanjian nuklear ini, jika pihak lain gagal memenuhi janji,” agensi berita ISNA memetik jurucakap AEOI, Behrouz Kamalvandi sebagai berkata. - Reuters

Berita Harian X