Rabu, 2 Oktober 2019 | 8:22pm

RAM Rating sahkan penarafan kemudahan hutang F&N Capital pada AA1 (s)/Stabil dan P1(s)

KUALA LUMPUR: RAM Rating Services Bhd (RAM Ratings) mengesahkan semula penarafan program Nota Jangka Sederhana RM750 juta (2013/2028) dan program Kertas Komersial RM750 juta (2013/2020) F&N Capital Sdn Bhd pada AA1(s)/Stabil dan P1(s).

Agensi penarafan itu berkata, kemudahan hutang F&N Capital itu disokong oleh jaminan korporat penuh, tanpa syarat dan tidak boleh ubah daripada syarikat induknya, Fraser & Neave Holdings Bhd (F&N Holdings).

Oleh itu, penarafan tersebut mencerminkan profil kredit kumpulan berkenaan, menurut RAM Ratings.

“Pengesahan semula penarafan itu berdasarkan prestasi F&N Holdings, yang sebahagian besar memang dalam jangkaan kami. Kumpulan itu dijangka mengekalkan penguasaan dalam industri makanan dan minuman Malaysia,” menurut RAM Ratings dalam kenyataan hari ini.

Penarafan berkenaan juga disokong oleh dominasi F&N Holdings dalam beberapa segmen minuman dan tenusu.

Meskipun penguasaan pasarannya menurun, namun syarikat berkenaan masih menerajui keseluruhan segmen produk sedia diminum di Malaysia dengan menyumbang 24.5 peratus kepada jualan minuman pada tahun kewangan 2018, kata firma penarafan itu.

“Kami mendapati F&N Holdings mempunyai rangkaian produk yang pelbagai selain memiliki tahap kepelbagaian secara geografi (menerusi operasinya di Thailand dan peningkatan eksport).

“Selain itu, operasi minuman ringan syarikat banyak bergantung kepada 100Plus, yang menjana separuh daripada jumlah jualan bahagian itu serta sebahagian besar keuntungan,” kata RAM Ratings.

-- BERNAMA

Berita Harian X