Jumaat, 27 September 2019 | 2:45pm
FTSE Russell.
FTSE Russell.

Kekal dalam senarai tanda aras bon global, akui inisiatif negara

KUALA LUMPUR: Keputusan FTSE Russell mengekalkan bon kerajaan Malaysia dalam senarai penanda aras Indeks Bon Kerajaan Global (WGBI) memperlihatkan pengendali indeks itu menerima secara positif inisiatif Bank Negara Malaysia (BNM) dalam meningkatkan kecairan dan akses pasaran tempatan.

Namun, masih banyak yang perlu dilakukan Malaysia untuk memantapkan lagi pasaran tukaran asing memandangkan negara ini masih kekal dalam senarai pemerhatian sehingga semakan semula interim pengendali indeks itu pada Mac tahun depan, demikian pandangan kebanyakan penganalisis ekonomi dan pasaran.

Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata keputusan FTSE Russell itu menunjukkan bahawa langkah yang dilaksanakan BNM bagi menambah baik pasaran mata wang asing dilihat menerima maklum balas yang positif.

Beliau berkata, dengan Malaysia kekal berada dalam WGBI juga memberi sedikit kelegaan kepada nilai ringgit.

“Walau bagaimanapun, pelabur akan terus memantau keputusan FTSE Russell pada Mac 2020,” katanya kepada BH bagi mengulas mengenai keputusan FTSE Russell itu di sini, semalam.

Sementara itu, penganalisis di Maybank Kim Eng, pula berpendapat bahawa pengumuman FTSE Russell mengekalkan Malaysia dalam WGBI akan memberi kesan neutral kepada pasaran bon secara keseluruhannya.

Katanya, pengumuman itu menunjukkan pengendali indeks berkenaan dan pelabur digalakkan oleh komitmen jitu yang ditunjukkan pihak berkuasa negara ini dalam memenuhi kriteria untuk kekal pada Tahap Akses Pasaran 2, iaitu paras minimum yang dinilai FTSE Russell untuk kelayakan berada dalam WGBI.

“Langkah liberalisasi yang dilaksanakan setakat ini dilihat berfungsi, tetapi tidak mencukupi untuk mengeluarkan Malaysia daripada senarai pemantauan.

“Kami fikir terdapat banyak lagi langkah susulan yang perlu diambil BNM untuk memantapkan lagi dasar,” kata Penganalisis Maybank Kim Eng, Winson Phoon dan Se Tho Mun Yi dalam nota penyelidikannya.

MIDF Research pula berpandangan, keputusan FTSE Russell itu akan memberikan sentimen positif kepada ringgit, yang mana ia mengunjurkan mata wang tempatan itu akan mengukuh secara beransur-ansur berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) menuju akhir tahun ini.

Katanya, dengan mengambil kira pelbagai faktor, pihaknya menjangkakan ringgit berada pada paras RM4.15 berbanding satu solar AS menjelang akhir tahun ini.

Bulan lalu, BNM mengumumkan langkah tambahan untuk memberi lebih banyak fleksibiliti kepada pelabur asing untuk berdagang dalam ringgit, dan bagi perniagaan pemastautin untuk menguruskan perlindungan risiko mata wang asing.

Gabenor BNM, Nor Shamsiah Mohamad Yunus, pada mesyuarat dasar terakhir bank pusat itu sebelum ini berkata, BNM terbabit secara “sangat positif" dengan FTSE Russell dalam usaha mengekalkan Malaysia dalam WGBI.

Penganalisis di Morgan Stanley sebelum ini berkata, pelabur asing mengurangkan pegangan bon kerajaan Malaysia sejak akhir 2016, dan hampir AS$8 bilion (RM33.52 bilion) dijangka meninggalkan Malaysia sekiranya negara ini digugurkan daripada indeks itu. Malaysia mewakili 0.39 peratus daripada penanda aras itu.

Pegangan asing dalam pasaran bon Malaysia adalah kira-kira AS$157 bilion (RM657.91 bilion) pada Julai.

Bon kerajaan bertempoh 10 tahun Malaysia adalah penanda aras yang paling meluas dijejaki pelabur asing.

Berita Harian X