Jumaat, 27 September 2019 | 9:19am

Bon Malaysia kekal dalam senaraian penanda aras FTSE Russell

NEW YORK/KUALA LUMPUR: Penyedia Indeks FTSE Russell hari ini berkata, ia akan mengekalkan bon kerajaan Malaysia dalam senarai penanda aras Indeks Bon Kerajaan Global (WGBI).

Pasaran bon Malaysia adalah yang paling banyak dimiliki pelabur asing di Asia, dan status quo boleh memberi kesan kepada nilai ringgit hari ini.

FTSE Russell akan menyediakan satu lagi kemas kini selepas semakan interim pada Mac tahun depan, yang akan memberikan masa kepada bank pusat Malaysia meneroka lebih banyak langkah untuk meningkatkan kecairannya.

Bon kerajaan Malaysia disemak semula FTSE Russell bagi kemungkinan ia akan diturunkan penarafannya, sekali gus akan menggugurkan daripada senarai WGBI.

"FTSE Russell akan terus terbabit dengan peserta pasaran untuk memahami kesan praktikal inisiatif yang diumumkan Bank Negara Malaysia (BNM) baru-baru ini untuk meningkatkan kecairan dan akses pasaran," katanya, merujuk kepada bank pusat negara itu.

Bulan lalu, BNM mengumumkan langkah-langkah tambahan untuk memberi lebih banyak fleksibiliti kepada pelabur asing untuk berdagang dalam ringgit, dan bagi perniagaan pemastautin untuk menguruskan perlindungan risiko mata wang asing, dalam usaha untuk kekal dalam indeks itu.

Gabenor BNM, Nor Shamsiah Mohamad Yunus, pada mesyuarat dasar terakhir bank pusat itu sebelum ini berkata, bank pusat itu terbabit secara “sangat positif" dengan FTSE Russell.

Penganalisis di Morgan Stanley sebelum ini berkata, pelabur asing mengurangkan pegangan bon kerajaan Malaysia sejak akhir 2016, dan hampir AS$8 bilion (RM33.52 bilion) dijangka meninggalkan Malaysia sekiranya Malaysia digugurkan daripada indeks itu. Malaysia mewakili 0.39 peratus daripada penanda aras itu.

Pegangan asing dalam pasaran bon Malaysia adalah kira-kira AS$157 bilion (RM657.91 bilion) pada Julai.

Bon berdaulat 10 tahun Malaysia adalah penanda aras yang paling meluas dijejaki pelabur asing. - Reuters

Berita Harian X