X
Jumaat, 20 September 2019 | 4:57pm

Pembeli China lonjak jualan hartanah Singapura

SINGAPURA: Harga jualan hartanah bagi unit pangsapuri di sini meningkat kepada S$10 juta (RM30.4 juta), paras tertingginya dalam tempoh 11 tahun didorong oleh peningkatan permintaan dari pembeli China.

Perunding hartanah, Orange Tee & Tie berkata, pembeli dari China ingin mencari aset selamat dan menjadikan Singapura lokasi pilihan mereka.

Katanya, pelabur sudah lama melihat Singapura sebagai negara yang mempunyai kestabilan menarik kepada golongan hartawan dari negara serantau Asia Tenggara serta jutawan China.

Dalam tempoh lapan bulan pertama 2019, sebanyak 68 unit kondominium telah dijual dengan harga melebihi S$10 juta, kadar jualan yang paling tinggi sejak tempoh yang sama pada 2008.

Sesetengah pembeli mungkin mencari alternatif untuk menyaingi pusat kewangan Hong Kong, sementara yang lain mungkin mengalihkan dana dari China selepas mata wang yuan menurun disebabkan perang perdagangan dengan Amerika Syarikat (AS).

“Ini mungkin menjelaskan mengapa kita melihat lebih banyak pembeli asing, terutama dari China memasuki pasaran hartanah Singapura akhir-akhir ini," kata Ketua Penyelidikan dan Perundingannya, Christine Sun.

China adalah kumpulan pelabur asing terbesar untuk kediaman mewah di Singapura.

Di kawasan tumpuan utama Singapura, pelabur dari China membeli 76 pangsapuri bernilai lebih daripada S$5 juta dalam tempoh Januari hingga Ogos, berbanding 75 pembelian oleh rakyat Singapura berdasarkan data sehingga 19 September 2019.

Pangsapuri mewah, khususnya di kawasan kejiranan premium banyak dibeli oleh pelabur asing, kerana pada harga yang sama, pembeli Singapura masih mempunyai pilihan untuk membeli kediaman bertanah seperti banglo.

Kerajaan Singapura ketika ini tidak membenarkan pemilikan asing bagi kediaman bertanah, kecuali bagi hartanah di pulau peranginan Sentosa.

“Kami melihat walaupun duti setem telah meningkat, masih ramai yang menjalankan pelaburan pembelian pangsapuri terutamanya untuk kestabilan,” kata Ketua Pegawai Operasi List Sotheby's International Realty, Boon Hoe Leong.

Beliau merujuk kepada langkah Singapura tahun lalu untuk menstabilkan pasaran hartanahnya, seperti meningkatkan duti setem untuk pembeli asing kepada 20 peratus daripada 15 peratus.

“Mereka melakukan pelaburan di sini kerana mereka tahu bahawa dolar Singapura tidak akan menyusut semalaman," katanya.

-Reuters

Berita Harian X