Khamis, 19 September 2019 | 3:38pm
Timbalan Perdana Menteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail melancarkan NFCP di PICC Putrajaya, hari ini. Hadir sama, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo (kiri) dan Pengerusi SKMM, Al-Ishsal Ishak. - NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor

NFCP tumpu sedia infrastruktur digital mapan

PUTRAJAYA: Pelan Gentian Optik Dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) memberi keutamaan kepada penyediaan infrastruktur digital yang mapan berteraskan rangkaian gentian optik.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo, bagaimanapun berkata

teknologi lain seperti teknologi tanpa wayar dan satelit turut akan digunakan.

“Ini (penggunaan teknologi lain) supaya lebih ramai rakyat mendapat akses kepada perkhidmatan jalur lebar,” katanya sambil menambah pendekatan itu adalah sejajar dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2021-2030.

Gobind berkata, NFCP bertujuan menyediakan kesalinghubungan digital yang mapan, menyeluruh, berkualiti tinggi dan mampu milik dan ia sejajar dengan matlamat kerajaan untuk menggalakkan pembabitan rakyat serta perniagaan dalam membangunkan ekonomi digital di Malaysia sebagai persediaan menghadapi era Revolusi Industri 4.0.

Pada majlis pelancaran NFCP oleh Timbalan Perdana Menteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail, Gobind berkata pelan berkenaan juga dapat mengurangkan jurang digital dan menyediakan persekitaran kondusif bagi penggunaan teknologi baharu seperti 5G.

Menurut Gobind, antara dasar di bawah NFCP adalah perkongsian infrastruktur yang bertujuan mengoptimumkan perbelanjaan sedia ada, dan akan membolehkan perkhidmatan disediakan dalam masa yang lebih singkat.

Katanya, beliau dimaklumkan pengendali infrastruktur tetap telah bersetuju secara dasarnya untuk melaksanakan inisiatif perkongsian infrastruktur mereka yang merangkumi perkongsian infrastruktur pasif termasuk tiang-tiang dan infrastruktur gentian optik.

“Bagi memastikan sasaran NFCP ini boleh dijayakan, kerjasama antara semua pihak amat diperlukan termasuk syarikat pembekal perkhidmatan, kerajaan negeri, kementerian dan agensi yang berkaitan,” katanya.

Menurutnya, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah mengadakan sesi perbincangan di peringkat negeri dari Mei hingga Ogos tahun ini bagi tujuan itu.

Gobind berkata, semua Menteri Besar dan Ketua Menteri telah memberi komitmen awal untuk memudahcara pembangunan infrastruktur digital agar semua projek-projek yang dirancang di bawah NFCP dapat dilaksanakan dengan lebih efektif pada kos yang lebih rendah. - BERNAMA

Berita Harian X