Isnin, 16 September 2019 | 10:00am

Akaun semasa kukuh dan harga minyak sokong ringgit

Lebihan akaun semasa Malaysia yang kukuh, pelaburan langsung asing (FDI) yang utuh dan perbezaan kadar faedah yang meluas dengan Amerika Syarikat (AS) akan menyokong prestasi ringgit meskipun berdepan ketidaktentuan pasaran global, demikian menurut penganalisis.

Ringgit dijangka menjejaki pengukuhan yuan dengan berpotensi mengukuh ke paras RM4.15 berbanding dolar AS dalam tempoh terdekat berikutan keredaan ketegangan perang perdagangan AS-China.

Dalam tempoh Januari-Julai 2019, Malaysia mencatatkan lebihan dagangan sebanyak RM81.6 bilion, 15.9 peratus lebih tinggi berbanding RM70.5 bilion yang dicatat dalam tempoh sama 2018.

Sementara itu, Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) pula memutuskan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) 3.00 peratus pada mesyuaratnya pada Khamis lalu.

Ahli Ekonomi Kanan United Overseas Bank (Malaysia) Bhd (UOB Malaysia), Julia Goh, berkata pihaknya menjangkakan aliran masuk FDI yang stabil, lebihan akaun semasa yang mapan, dan perbezaan kadar faedah yang meluas dengan AS kekal menyokong ringgit.

“Kami jangka ringgit berlegar antara RM4.15-RM4.20 dalam tempoh terdekat. Kami mengulangi unjuran dolar AS berbanding ringgit RM4.18 menjelang akhir 2019,” katanya dalam nota penyelidikannya.

Mengulas mengenai aliran portfolio asing, Goh berkata, tinjauan jangka terdekat bagi aliran portfolio asing dijangka kekal tidak menentu dengan jangkaan perang perdagangan AS-China melangkaui 2019 dan meningkatnya kebimbangan tinjauan global yang lemah.

Beliau berkata, risiko utama untuk dipantau ialah keputusan FTSE Russell sama ada untuk tidak menyenaraikan bon Malaysia dalam Indeks Bon Kerajaan Dunia (WGBI) pada 26 September ini.

Namun, katanya, BNM sudah berhubung secara positif dengan FTSE susulan liberalisasi selanjutnya pentadbiran tukaran asing (FEA) untuk meningkatkan kecairan dan akses pasaran.

“Justeru, kami fikir kemungkinan bagi Malaysia untuk kekal dalam WGBI meningkat walaupun kemungkinannya berkurangan daripada 0.39 peratus untuk memberi laluan kemasukan China,” katanya.

Ketidaktentuan luaran sebelum ini mendorong pengaliran keluar portfolio asing daripada pasaran ekuiti dan bon tempatan.

Pelabur asing menjual ekuiti dan sekuriti hutang Malaysia sebanyak RM2.7 bilion pada Ogos 2019, yang mana sejajar dengan pengaliran keluar portfolio berjumlah AS$13.8 bilion daripada pasaran baharu muncul di tengah-tengah peningkatan semula ketegangan perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China.

Pasaran ekuiti Malaysia berdepan pengaliran keluar asing tertinggi dalam tempoh 14 bulan berjumlah RM2.6 bilion, sementara pasaran hutang tempatan mencatatkan pengaliran keluar berjumlah RM0.09 bilion, dengan pegangan asing dalam bon kerajaan Malaysia rendah kepada 22.0 peratus pada akhir Ogos.

Sementara itu, Scotiabank pula menjangkakan ringgit dijangka meningkat sejajar dengan pengukuhan yuan memandangkan rundingan AS-China dijangka mencapai kesepakatan pada awal Oktober ini.

Ia juga menasihatkan peserta pasaran untuk memantau rapat keputusan FTSE mengenai kelayakan bon Malaysia untuk berada dalam WGBI.

Sementara itu, Maybank IB Research, berkata prospek hasil rendah atau negatif dalam pasaran maju menjadi positif kepada bon dengan gred pelaburan berhasil tinggi dalam pasaran baharu muncul, termasuk Malaysia.

Cabang penyelidikan Maybank Investment Bank Bhd itu berkata, impak kajian semula indeks bon global perlu diberi perhatian dengan bahagian Penyelidikan Pendapatan Tetapnya, menetapkan 70 peratus kebarangkalian Malaysia akan kekal dalam senarai itu.

Berita Harian X