Rabu, 11 September 2019 | 8:34pm
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin. - Foto Muhd Asyraf Sawal

Perdagangan borong dan runcit berjumlah RM112.5 bilion pada Julai

PUTRAJAYA: Nilai jualan perdagangan borong dan runcit Malaysia mencatatkan pertumbuhan sebanyak 5.7 peratus pada Julai 2019 berbanding tempoh sama tahun lalu.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, peningkatan itu disumbangkan oleh perdagangan runcit sebanyak 7.1 peratus yang dipacu oleh jualan runcit makanan, minuman dan tembakau sebanyak 10.5 peratus.

Beliau berkata, ia diikuti oleh jualan runcit di kedai khusus yang menjual.

“Barangan lain dan jualan runcit di kedai bukan pengkhususan masing- masing mencatatkan pertumbuhan 8.2 peratus dan 8.1 peratus.

“Bagi subsektor Perdagangan Borong, ia berkembang sebanyak 6.6 peratus. Sebaliknya, Kenderaan Bermotor pula merekodkan pertumbuhan negatif 1.7 peratus berbanding setahun lalu.

“Prestasi nilai jualan Perdagangan Borong dan Runcit berbanding bulan lalu pula meningkat secara marginal sebanyak 0.2 peratus,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Uzir berkata, Subsektor Kenderaan Bermotor meningkat 7.3 peratus selepas menyusut 5.4 peratus pada Jun 2019, diikuti oleh Perdagangan Runcit yang meningkat 1.1 peratus.

Pada tempoh yang sama katanya, Perdagangan Borong merosot 2.3 peratus pada bulan ini.

Bagi indeks volum katanya, Perdagangan Borong dan Runcit menokok 6.3 peratus berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.

“Peningkatan ini didorong oleh Perdagangan Runcit yang mencatatkan pertumbuhan tahunan 8.4 peratus. Perdagangan Borong berkembang sebanyak 5.8 peratus manakala Kenderaan Bermotor meningkat 0.3 peratus,” katanya.

143 dibaca
Berita Harian X