Rabu, 11 September 2019 | 7:02pm
Yang Mulia Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan (tiga, kanan), Putera Mahkota Abu Dhabi yang juga Timbalan Komandan Tertinggi Angkatan Bersenjata UAE menerima mengadap Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (tiga, kiri) di Sea Palace barza. Turut kelihatan Menteri Tenaga dan Industri UAE, Suhail Al Mazrouei (dua, kanan). - Foto BERNAMA

Tingkat pelaburan di Abu Dhabi

KUALA LUMPUR: Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) sudah menerima cadangan yang mungkin memberi peluang kepada lebih banyak syarikat tempatan untuk meneroka pasaran negara itu dan sebaliknya.

Menurut sumber yang mempunyai maklumat berkaitan, cadangan itu turut disertakan dengan pelaburan ‘besar-besaran’.

Katanya, selain mahu mempromosikan hubungan yang lebih erat antara kedua-dua negara, idea berkenaan diinspirasikan daripada perjanjian kerajaan ke kerajaan antara Arab Saudi dan Malaysia yang menyaksikan pelaburan Saudi Aramco bernilai AS$7 bilion ke dalam projek penapisan RAPID di bawah PETRONAS.

Seorang daripada sumber berkata, perjanjian antara UAE dan Malaysia akan menyaksikan dua kerajaan berkenaan mengenal pasti peluang pelaburan bukan saja dalam bidang minyak dan gas tetapi juga dalam tenaga boleh diperbaharui, prasarana dan pelancongan.

Sebelum ini, Malaysia dan UAE telah memeterai memorandum persefahaman untuk menubuhkan Kerjasama Jawatankuasa Bersama (JCC) pada November 2017.

Ia bertujuan memanfaatkan impak pembangunan ekonomi dan memacu hubungan baik Malaysia dan UAE.

Bagaimanapun, mesyuarat pertama JCC tidak pernah berlangsung sehingga kini.

Menurut sumber lagi, cadangan baharu itu membabitkan penubuhan Jawatankuasa Pelaburan Bersama (JIC) yang akan dipengerusikan secara bersama oleh Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Azmin Ali dan Menteri Tenaga dan Industri UAE HE Suhail Al Mazrouei.

Sama dengan JCC, JIC juga bertujuan meningkatkan hubungan ekonomi antara Malaysia dan UAE.

Sumber berkata, jika diluluskan, ia mungkin membabitkan nama besar di Abu Dhabi seperti Mubadala, Lembaga Pelaburan Abu Dhabi (ADIA), Khazanah Nasional Bhd, Syarikat Minyak Nasional Abu Dhabi dan juga Petronas.

Katanya, memandangkan pelaburan akan tertumpu kepada empat sektor utama, nama besar lain dari kedua-dua negara berkenaan turut akan terbabit.

“ADIA mempunyai lebih AS$800 bilion untuk dibelanjakan dan Mubadala US$70 billion. Ia akan memberi manfaat kepada Malaysia jika ia boleh direalisasikan sebagai pelaburan di negara ini.

“Kerajaan juga sedang mencari peluang di Abu Dhabi yang mungkin sesuai untuk pelaburan syarikat tempatan. Apa yang boleh saya katakan, secara umumnya JIC akan membantu mempromosikan pembangunan ekonomi dan pelaburan korporat secara besar-besaran dari kedua-dua negara berkenaan,” kata sumber.

Tambahnya, JIC pasti akan berlaku pada kali ini kerana kerajaan sedang mengusahakannya.

“Ia dijangka dimuktamadkan dalam tempoh beberapa bulan akan datang,” katanya.

Difahamkan, Azmin kini sedang berada di UAE dan mengetuai delegasi Malaysia ke Meja Bulat Kementerian Tenaga Asia ke-8 dan Kongres Tenaga Dunia ke-24 di Abu Dhabi.

Sebagaimana yang dimuatnaik di laman sosialnya, beliau mempunyai peluang untuk membincangkan mengenai penubuhan JIC dengan Putera Mahkota UAE.

Lawatan berkenaan juga turut menyusuli lawatan khas Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ke Abu Dhabi pada pertengahan Jun lalu.

Berita Harian X