Ahad, 1 September 2019 | 4:16pm
Timbalan Ketua Pengarah Lembaga Koko Malaysia Dr Ramle Kasin (dua dari kanan) memberi taklimat kepada Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Rasinin Koutis (kiri) mengenai benih klon terbaik yang dikeluarkan oleh LKM melalui Gerakan Tanam Koko (Gertak) di Keningau sambil diperhatikan oleh Pengurus Gertak Rustam Baka (kanan). - Foto BERNAMA

Industri koko Malaysia perlu pendekatan agresif

KENINGAU: Industri koko negara memerlukan lonjakan menerusi pendekatan lebih agresif termasuk menggalakkan penanamannya sebagai sumber kekayaan baharu, sekali gus dapat mengembalikan kegemilangan industri berkenaan.

Pembantu Menteri Luar Bandar Sabah, Rasinin Koutis, berkata ini berikutan potensi komoditi itu termasuk harganya yang stabil berbanding sawit dan getah selain terus menerima permintaan yang tetap.

Bagaimanapun, katanya industri koko tempatan kini berdepan masalah kekurangan pengeluaran biji koko yang boleh menjejaskan pembangunan hiliran sektor komoditi itu jika tiada langkah proaktif diambil bagi menanganinya.

Malah, katanya, Malaysia pada masa ini terpaksa berharap kepada negara jiran khususnya Indonesia dan negara lain seperti Ivory Coast serta Ghana untuk memperolehi sumber bekalan biji koko bagi keperluan domestik.

“Pada 2018 misalnya, Malaysia hanya mampu menghasilkan kira-kira 814 tan metrik biji koko berbanding keperluan pengisar tempatan yang berjumlah 344,488 tan metrik setahun.

“Bagi mengatasi kemelut itu, Malaysia terpaksa mengimpot sejumlah 344,674 tan metrik setahun daripada negara luar,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Sambutan ke-3 Tahun Gerakan Tanam Koko, baru-baru ini.

Majlis itu turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Lembaga Koko Malaysia (LKM) Dr Ramle Kasin dan Pengarah Bahagian Pemindahan Teknologi dan Pembangunan LKM Mohd Zamri A Ghani.

Komoditi koko mula dibangunkan di Malaysia seawal tahun 1770-an atau kira-kira 249 tahun lalu dan berkembang pesat sekali gus memberi sumbangan signifikan kepada pembangunan ekonomi negara.

Menurut Rasinin, sejak 1989, keluasan penanaman koko di negara ini meningkat sehingga 415,000 hektar dan seterusnya meletakkan Malaysia antara pengeluar koko terbesar dunia.

Bagaimanapun, mulai 2011 pengeluaran koko negara merundum sehingga 70 peratus yang menyaksikan keluasan penanaman merosot sehingga 20,543 hektar dengan pengeluaran sekitar 5,000 tan metrik setahun.

Kemorosotan pengeluaran itu menyebabkan berlakunya persaingan guna tanah dengan tanaman komoditi lain termasuk kelapa sawit, katanya.

Namun, berdasarkan permintaan tinggi biji koko ketika ini, Rasinin menyifatkan sekarang sebagai masa paling tepat dan sesuai untuk pekebun-pekebun kecil menceburi bidang penanaman koko dan pihak seperti LKM dapat mempergiatkan usaha bagi menarik minat berkenaan.

“Permintaan biji koko jauh lebih tinggi berbanding pengeluaran. Berdasarkan prinsip ekonomi, keadaan ini sudah tentu akan mendorong kepada peningkatan harga biji koko dalam pasaran yang dapat memberi pendapatan lumayan kepada pekebun," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X