Khamis, 29 Ogos 2019 | 6:58pm
MENTERI Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof. - Foto Owee Ah Chun

PKS perlu manfaatkan pembiayaan RM20 bilion

SERDANG: Usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) perlu memanfaatkan pembiayaan berjumlah RM20 bilion setahun yang ditawarkan ahli Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM).

Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof, berkata pembiayaan oleh 26 ahli AIBIM adalah untuk memperkasakan keusahawanan tempatan, yang menjadi sebahagian daripada langkah memacu pelaksanaan Dasar Keusahawan Nasional 2030 (DKN2030).

“PKS perlu memperkasakan perniagaan bagi menyakinkan ahli AIBIM untuk menyalurkan pembiayaan. PKS yang layak seharusnya menggunakan platform pembiayaan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Minggu Usahawan Nasional 2019 (MUN 2019) di sini, hari ini.

Hadir sama ialah Timbalan Menterinya, Datuk Wira Dr Mohd Hatta Ramli; Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Amiruddin Hamzah; dan Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi.

Mohd Redzuan berkata, antara syarat pembiayaan ditentukan oleh AIBIM adalah mengetengahkan kriteria tertentu, termasuk sektor yang berimpak tinggi dan mapan.

“Had pembiayaan bergantung kepada saiz perniagaan dan keperluan usahawan. Jadi, mereka seharusnya mengambil peluang ini untuk mengembangkan perniagaan.

“Syarat pembiayaan harus ketat mengikut piawaian perbankan. Usahawan perlu fahami keperluan. Kita harapkan PKS memanfaatkan peluang ini untuk memperkemaskan ekosistem perniagaan,” katanya.

Ahli AIBIM antaranya Bank Rakyat, SME Bank, Agro Bank dan Bank Islam.

MUN 2019 yang berlangsung di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) selama empat hari bermula hari ini dijangka menjana potensi jualan RM20 juta dan jualan tunai sebanyak RM500,000.

Selain itu, majlis memeterai memorandum persefahaman (MoU) antara Institut Koperasi Malaysia (IKM), Bank Rakyat, MED dan AIBIM turut diadakan.

MoU itu dimeterai bagi program pembiayaan khas Bank Rakyat yang menyasarkan koperasi kluster mikro, kecil dan sederhana menyertai program Million Ringgit Coop League (MiRiCLe).

Menerusi MiRiCLe, koperasi berpotensi akan memberi bimbingan dan latihan bersesuaian mengikut keperluan dan permintaan koperasi.

Program itu juga menyaksikan Bank Rakyat memperuntukkan RM500 juta bagi tempoh 10 tahun, di mana koperasi berpotensi boleh memohon pembiayaan minimum RM20,000 dan maksimum sehingga RM500,000.

Jenis pembiayaan merangkumi bidang pemborongan dan peruncitan, pertanian, pelancongan dan penjagaan diri, perladangan dan pembinaan serta perkhidmatan.

Sementara itu, MUN 2019 mendapat sambutan menggalakkan apabila menerima kehadiran lebih 10,000 pengunjung pada hari pertama penganjurannya.

Berita Harian X