Khamis, 29 Ogos 2019 | 5:09pm

Singapura mula proses permohonan lesen bank digital

SINGAPURA: Bank pusat Singapura memulakan proses permohonan sehingga lima lesen bank digital baharu dan menerbitkan garis panduan terperinci calon yang berpotensi.

Kemasukan peserta baharu akan mencetuskan perubahan terbesar dalam tempoh dua dekad untuk pasaran yang dikuasai bank-bank tempatan seperti DBS Group Holdings Ltd, Oversea-Chinese Banking Corp dan United Overseas Bank Ltd.

“Lesen bank digital baharu, yang akan diperluaskan kepada peserta bukan bank, akan memastikan sektor perbankan Singapura menjadi berdaya tahan, berdaya saing dan segar,” kata Monetary Authority of Singapore (MAS) dalam satu kenyataan.

MAS, yang mengumumkan liberalisasi sektor itu pada Jun, semalam berkata ia akan menerima permohonan sehingga akhir tahun ini.

Firma-firma bukan perbankan Asia berminat untuk mencabar bank-bank tradisional dengan memanfaatkan teknologi dan pangkalan data pengguna dengan menawarkan perkhidmatan perbankan kepada pelanggan runcit serta perniagaan kecil.

Hong Kong, pesaing pusat kewangan utama Singapura mula mengeluarkan lesen awal tahun ini.

MAS merancang untuk mengeluarkan lesen kepada dua bank digital penuh dan sehingga tiga bank borong digital.

“Bank digital penuh dibenarkan untuk mengambil deposit dan menyediakan perkhidmatan kewangan kepada segmen runcit dan bukan runcit, manakala bank borong digital akan diberi permit menyediakan perkhidmatan untuk perusahaan kecil dan sederhana serta segmen bukan runcit,” kata MAS.

Firma e-hailing, Grab dan Singapore Telecommunications Ltd menyatakan minat untuk mendapatkan lesen berkenaan.

-Reuters

Berita Harian X