Khamis, 29 Ogos 2019 | 9:28am

Korea rangka perbelanjaan bajet 2020 paling agresif

SEOUL: Korea Selatan merangka pelan perbelanjaan bajet yang paling agresif sejak krisis kewangan global 2008-2009 bagi tahun depan, ketika mana ekonomi negara yang bergantung kepada perdagangannya itu terkesan oleh ancaman ekonomi yang semakin meningkat dari dalam dan luar negara.

Kementerian Kewangan berkata, ia akan mencadangkan kepada Parlimen satu rang undang-undang bajet sebanyak 513.5 trilion won (AS$423.45 bilion) tahun depan, naik 8.0 peratus berbanding tahun ini.

Defisit fiskal dijangka meningkat kepada 3.6 peratus tahun depan daripada jangkaan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahunan berbanding jurang 2.2 peratus yang diunjurkan untuk tahun ini, menandakan kekurangan terbesar sejak 2009 apabila ekonomi global sedang berhadapan krisis kewangan.

Ekonomi keempat terbesar di Asia itu, yang begitu bergantung kepada eksport untuk pertumbuhan, bergelut dengan permintaan global dan sentimen pengguna yang perlahan ketika mana perang perdagangan AS-China semakin memuncak di tengah-tengah perselisihan perdagangan dengan negara jiran Jepun.

"Risiko penurunan meningkat apabila pelaburan dan eksport kekal lembap manakala langkah Jepun menimbulkan ketidakpastian," kata Menteri Kewangan Hong Nam-ki dalam ulasan yang di embargo untuk siaran Khamis.

Pada Julai, bank pusat negara itu merendahkan unjuran pertumbuhan ekonomi tahun ini kepada 2.2 peratus daripada 2.5 peratus sebelumnya, tetapi masih jauh di atas unjuran oleh pertubuhan sektor swasta, iaitu serendah 1.4 peratus.

Namun, unjuran terbaru Bank of Korea adalah yang paling lemah sejak krisis kewangan global dan antara yang terburuk sejak akhir Perang Dunia Kedua.

Ia masih boleh menurunkan ramalannya pada tinjauan seterusnya pada November.

Kementerian itu dalam kenyataan berkata, perbelanjaan bajet akan dinaikkan dengan ketara untuk kebajikan, mewujudkan pekerjaan, perniagaan kecil, projek alam sekitar dan, penyelidikan dan pembangunan.

Ia berkata, akan mendapatkan kelulusan parlimen untuk menjual bon perbendaharaan berjumlah 60.2 trilion won bagi tujuan membiayai defisit fiskal tahun depan, yang akan menjadi rekod terbesar dan sekali ganda daripada 33.8 trilion won tahun ini.

Walaupun peningkatan pinjaman kerajaan, Korea Selatan mempunyai salah satu kedudukan fiskal yang paling sihat di kalangan ekonomi berpendapatan tinggi. Nisbah hutang kerajaan hanya akan mencecah 39.8 peratus daripada KDNK tahun depan. - Reuters

Berita Harian X