Ahad, 25 Ogos 2019 | 4:28pm
Duta Besar Malaysia ke Kazakhstan, Syed Mohamad Bakri Syed Abd Rahman.

Malaysia akan tingkatkan penyertaan firma tempatan di Kazakhstan - Duta

KUALA LUMPUR: Malaysia berusaha meningkatkan penyertaan syarikat-syarikat tempatan di Kazakhstan bagi memanfaatkan potensi pertumbuhan sektor ekonomi khusus di bekas republik Kesatuan Soviet itu.

Duta Besar Malaysia ke Kazakhstan, Syed Mohamad Bakri Syed Abd Rahman, berkata antara potensi baharu yang boleh dipertimbang oleh syarikat Malaysia ialah pelancongan, pendidikan dan perbankan.

Beliau berkata Kazakhstan sedang mencari pelaburan dalam pendidikan, dan berdasarkan kepakaran yang dimiliki Malaysia dalam bidang itu, sebuah sekolah antarabangsa berdasarkan kurikulum Cambridge IGCSE (Sijil Pelajaran Umum Antarabangsa) dirancang dibuka di tiga bandar raya iaitu Shymkent, Nur-Sultan dan Almaty.

“Ada banyak ruang untuk meningkatkan perdagangan dua hala antara Malaysia dan Kazakhstan. Kami sedang bekerja keras untuk itu.

“Kami di kedutaan, Dewan Perniagaan ASEAN dan Majlis Perniagaan Malaysia-Kazakhstan (MKBC) sedang berusaha menarik lebih banyak perniagaan Malaysia untuk mengembangkan operasi mereka ke Kazakhstan,” katanya kepada Bernama dalam temu bual baru-baru ini.

Kurang dari lima syarikat Malaysia kini beroperasi di Kazakhstan, katanya.

Pada 2018, perdagangan dua hala Malaysia-Kazakhstan bernilai AS$478 juta (AS$1=RM4.19), dengan 73 peratus daripadanya terdiri daripada eksport Kazakhstan ke Malaysia manakala 27 peratus lagi terdiri daripada import dari Malaysia.

“Terdapat sebuah kilang simen serta dua syarikat minyak dan gas (operasi) di Kazakhstan. Dari segi eksport, Malaysia mengeksport minyak sawit ke Kazakhstan, dengan sebahagian besarnya digunakan untuk sektor pengeluaran seperti marjerin,” kata Syed Mohamad Bakri.

Sementara itu, Presiden Dewan Perniagaan ASEAN Datuk Moehamad Izat Emir berkata Kesatuan Ekonomi Eurasia mempunyai potensi geopolitik dan perdagangan yang besar kerana ia secara asasnya meluas dari sempadan Kesatuan Eropah ke sempadan China.

“Blok Eurasia mempunyai pendapatan keluaran dalam negara kasar yang lebih tinggi daripada ASEAN sendiri, yang bermaksud pasaran Eurasia mempunyai banyak peluang untuk diterokai,” katanya.

Moehamad Izat berkata Malaysia, Singapura, Thailand dan Vietnam paling banyak melabur di negara Eurasia, dengan kira-kira AS$49.3 bilion, terutama dalam pertanian, makanan dan tembakau. – BERNAMA

Berita Harian X