Sabtu, 24 Ogos 2019 | 5:45pm
KETUA Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, bersama Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Datuk Li Chunrong (kanan) pada majlis perasmian Pusat 4S (menawarkan khidmat jualan, servis, alat ganti serta ketuk dan cat) Proton terbesar pertama di Malaysia, di Kota Kinabalu. - Foto Edmund Samunting

Sabah lokasi sesuai dibangunkan kilang Proton

KOTA KINABALU: Sabah mampu menjadi lokasi sesuai untuk didirikan kilang pemasangan kereta nasional, Proton.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata banyak faktor boleh diambil kira oleh syarikat pengeluar kereta nasional itu dalam mewujudkan kilang di Sabah termasuk aspek geografi.

“Sabah berhampiran dengan Jepun, China dan Hong Kong, selain dekat dengan ibu negara Indonesia yang bakal dipindahkan di Kalimantan.

“Negeri ini juga bakal mewujudkan pelabuhan antarabangsa di Kudat dan ia secara tidak langsung menjadikan Sabah sebagai tempat yang paling sesuai untuk didirikan kilang pemasangan Proton,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pusat 4S yang menawarkan khidmat jualan, servis, alat ganti dan ketuk serta cat Proton terbesar dan pertama di Malaysia, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Dr Li Chunrong dan Menteri Pelajaran dan Inovasi negeri, Datuk Dr Yusof Yacob.

Mohd Shafie berkata, dengan adanya kilang pemasangan itu, ia sekali gus memberi manfaat kepada rakyat di negeri ini termasuk peluang pekerjaan khususnya dalam bidang automotif.

“Kerajaan Sabah juga komited untuk mewujudkan sekolah dan kolej teknikal serta vokasional di negeri ini.

“Kita akan pastikan menerusi sekolah dan kolej teknikal ini, kita dapat meningkatkan kemahiran anak-anak di negeri ini, seterusnya dapat menjadi tenaga kerja khususnya dalam bidang automotif,” katanya.

Sementara itu, Proton dalam satu kenyataan yang diedarkan pada majlis itu berkata, Pusat 4S Proton berkenaan adalah yang terbesar di Malaysia dan ia dibuka oleh syarikat Fook Loi Corporation (Sabah) Sdn Bhd.

Berita Harian X